Jumaat, 27 November 2009

Kolera: Segera Dapatkan Bantuan Jika Alami Cirit-Birit

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sempena perayaan Aidiladha ini orang ramai yang pulang bercuti ke kampung atau yang ingin melawat kawasan-kawasan yang dilanda jangkitan kolera atau menghuni pusat pemindahan banjir dinasihatkan supaya menjaga kesihatan diri dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami cirit-birit.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan di sini hari ini berkata bagi mereka yang ingin mengadakan jamuan atau menyediakan makanan di pusat pemindahan banjir perlu mengelakkan menggunakan air batu dan perlu sentiasa menjaga kebersihan persekitaran.

"Minum air yang dimasak atau air minuman yang dibotolkan, gunakan air yang dibekalkan kerajaan dan elakkan meminum air yang tidak dirawat seperti air telaga dan air sungai serta air batu," katanya.

Sementara itu tiada kes kolera baru dilaporkan di Terengganu sejak lima hari lepas dengan bilangan kes terkumpul kekal 185 kes manakala kes cirit-birit menunjukkan penurunan ketara dengan bilangan yang masih dirawat di hospital hanya 47 kes.

Tiada ulasan: