Ahad, 29 November 2009

Majlis Korban Perdana bakal jadi acara tahunan

Oleh Rosdalilah Zahari


IPOH: Sebanyak 105 lembu dan 30 kambing dikorbankan dalam Majlis Korban Perdana 2009 yang julung kali diadakan di semua 10 daerah di negeri ini sempena Aidiladha.

Program membabitkan badan berkanun kerajaan negeri itu bermula di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, semalam dengan lima lembu, dua kerbau dan 30 kambing dikorbankan sebelum diagihkan kepada hadirin program.

Antara badan berkanun terbabit dalam program itu ialah Yayasan Perak, Perbadanan Kemajuan Pertanian Perak, Lembaga Air Perak, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Perak, Institut Darul Ridzuan, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata program ibadat itu bertujuan meningkatkan nilai keagamaan, kasih sayang, perpaduan dan memahami erti pengorbanan dalam konteks Islam.

“Justeru, kerajaan negeri akan menjadikan program ini acara tahunan pada hari kedua sambutan Aidiladha. Ia salah satu projek perdana berkaitan dengan keagamaan,” katanya pada sidang media selepas program terbabit.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Dr Mah Hang Soon; Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Mohammad Zahir Abdul Khalid; Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Nadzri Ismail dan Pengarah JPV Perak, Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Zambry berkata, penganjuran program itu akan diselitkan dengan majlis bersifat keagamaan bermula dari pagi Aidiladha hingga hari ketiga sambutan perayaan berkenaan.

“Program keagamaan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah turut dihadiri Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Masjid Sultan Azlan Shah diikuti ceramah perdana korban disampaikan oleh beberapa tokoh agama terkenal dan disambung dengan Qiamullail yang akan berakhir keesokannya.

“Melalui program berkenaan, kita berharap ia menjadi pendekatan terbaik mengembangkan ajaran Islam dengan menyatukan rakyat serta boleh dijadikan contoh untuk ikutan masyarakat tempat lain,” katanya.

Tiada ulasan: