Isnin, 30 November 2009

Chin Peng Harap Temui Najib Di Selatan Thailand

Oleh D. ARUL RAJOO


HATYAI: Bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (CPM) Chin Peng berkata beliau tidak akan menggunakan pihak ketiga tetapi sebaliknya menggunakan saluran sesuai untuk menyampaikan hasratnya kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membenarkannya kembali ke Malaysia.

Jika boleh, beliau melahirkan hasrat untuk dapat bertemu Najib apabila Perdana Menteri itu melawat selatan Thailand yang dijadual pada minggu kedua bulan depan.

Mengenai kenyataan bekas Ketua Polis Negara Malaysia Tan Sri Norian Mai bahawa Chin Peng telah menunggu begitu lama dan kini sudah terlambat baginya untuk pulang, bekas gerila itu berkata beliau tidak mahu berbalah dengan Norian, yang merupakan salah seorang perunding utama semasa perbincangan antara CPM dengan kerajaan Malaysia.

"...tetapi pada hakikatnya, saya pergi ke sebuah tempat yang dipilih untuk menemui wakil kerajaan, saya tidak ingat tempat sebenarnya, tetapi berhampiran dengan Hatyai. Tetapi saya tidak dapat menemui mereka, kemudian ada orang beritahu saya untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat...akhirnya juga saya tidak dapat jumpa mereka dan ini sebagai satu misteri kepada saya sehingga sekarang," katanya.

Chin Peng berkata apa yang beliau mahukan ialah untuk kembali ke Malaysia menemui keluarganya dan memberikan penghormatan kepada nenek moyangnya di Sitiawan, Perak.

"Saya sudah tua, berusia 85 tahun. Sebagai orang tua, saya harap dapat melihat keluarga saya dan memberikan penghormatan kepada nenek moyang saya. Ini peluang akhir saya untuk pulang ke tanah air. Kepulangan saya bukan untuk menimbulkan kekacauan," katanya dalam temubual di Lee Gardens Hotel di sini di mana beliau mengetuai kepimpinan CPM ke perjanjian menandatangani berakhirnya pemberontakan bersenjata komunis pada 2 Disember, 1989.

Chin Peng mempunyai seorang anak lelaki di Malaysia sementara anak perempuaanya kini di Australia.

Ditanya kenapa beliau tidak menonjolkan diri walaupun seorang yang dikenali dalam sejarah Malaysia, Chin Peng,yang memakai kemeja batik dan terpaksa dibantu untuk bergerak, berkata bukan mengejar publisiti, kecuali tidak dapat dielakkan.

Setelah CPM diharamkan pada tahun 1940an, beliau mula kelihatan dikhalayak ramai pada tahun 1955 semasa Rundingan Baling yang telah dibubarkan di mana beliau menemui Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman, sebelum keluar lagi untuk menandatangani Perjanjian Damai pada tahun 1989, tetapi tinggal menyendirikan diri sehingga beberapa bulan kebelakangan ini.

Chin Peng, yang diberikan pasport orang asing oleh kerajaan Thai, berkata beliau telah tinggal di Bangkok sejak beberapa tahun lepas, tetapi tidak membabitkan diri dalam sebarang aktiviti perniagaan.

Beliau berkata CPM berhenti menerima sebarang bantuan daripada Parti Komunis China selepas menandatangani perjanjian itu, sambil menambah tidak ada sebab untuk meminta bantuan daripada mereka selepas itu.

Daripada maklum balas yang diterimanya, ketanya kebanyakan bekas rakannya yang telah kembali ke Malaysia kini berjaya dalam kehidupan baru mereka.

"Mereka dalam keadaan baik tetapi tidak semuanya," katanya sambil menambah bahawa ramai juga yang tinggal di empat perkampungan damai yang diwujudkan oleh kerajaan Thai di wilayah Yala yang bersempadan dengan Malaysia.

Di bawah perjanjian damai, 339 bekas anggota CPM kembali ke Malaysia dari sempadan Thai-Malaysia dalam 13 kumpulan antara Ogos, 1991 dan Disember, 1992, sementara sesetengahnya tinggal di beberapa perkampungan damai yang diwujudkan oleh kerajaan Thai di wilayah Yala.

Mengenai sesetengah laporan bahawa ada bekas anggota terbabit dalam pemberontakan kini di wilayah Selatan Thai yang penduduknya majoriti Muslim, Chin Peng berkata konflik itu tidak ada kaitan dengan mereka.

"Saya tidak tahu. Mengikut maklumat saya dan laporan daripada rakan Melayu saya di sana, tidak ada masalah...tidak ada sebab untuk sertai pemberontakan itu," kata beliau.

Ditanya apa telah terjadi setelah meletakkan persenjataannya sejak 20 tahun lepas, Chin Peng berkata parti itu masih hidup, tetapi tidak menyebabkan ancaman kepada sesiapa kerana ia dalam keadaan hibernasi.

"Ya, CPM masih hidup...dalam hibernasi. Kita tidak aktif lagi, hanya ada sedikit himpunan bersama di kalangan rakan kita," katanya yang mengetuai perang gerila di hutan menentang kerajaan Malaysia selama beberapa dekad.

Chin Peng berkata sejak perjanjian itu ditandatangani dengan kerajaan Malaysia di sini pada tahun 1989 yang membawa kepada pemberontakan bersenjata berakhir, beliau percaya kedua-dua pihak telah memenuhi kebanyakan tanggungjawabnya yang digariskan dalam perjanjian itu, tetapi keputusan menghalang beliau daripada kembali ke tanah air masih menjadi satu isu.

Beliau berkata perayaan pada Isnin untuk menandakan ulang tahun ke20 tahun perjanjian bersejarah itu, boleh dianggap kemunculan terakhirnya di khalayak ramai di Thailand.

Acara itu dianjurkan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia Abad ke-21, dianggotai bekas anggota CPM yang tinggal di Malaysia selepas perjanjian itu.

Tiada ulasan: