UTUSAN ONLINE
BATU PAHAT - Kementerian Pelajaran akan mengkaji cadangan pihak tertentu agar menukarkan 'guru semberono' ke Pejabat Pelajaran Daerah bagi menangani masalah prestasi mereka.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian teliti perlu bagi memastikan tindakan yang bakal diambil tidak dianggap 'menyejukbekukan' guru-guru terbabit.
''Ia cadangan yang baik tetapi mungkin hanya boleh dilaksanakan sebagai tindakan terakhir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas maklum balas yang diterima daripada beberapa pihak ekoran kenyataannya mengenai 'guru semberono' yang disiarkan beberapa akhbar tempatan, baru-baru ini.
Terdahulu, Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat menghadiri Majlis Korban Perdana, anjuran UMNO bahagian tersebut di Kampung Linau Kecil, Bukit Pasir di sini hari ini.
Sebanyak 15 ekor lembu dikorbankan pada majlis itu dan dagingnya diagih-agihkan kepada fakir miskin.
Menurut beliau, pihaknya tidak akan 'menyejukbekukan' guru yang didapati tidak lagi mampu memberi komitmen sepenuhnya ke atas profesion mereka.
''Perubahan sikap guru terbabit mungkin disebabkan beberapa faktor antaranya masalah keluarga atau persekitaran tempat mengajar yang tidak memenuhi kehendak mereka," katanya.
Jelasnya, masih terdapat cara sesuai untuk dilaksanakan kementerian dalam usaha meningkatkan semula penghayatan guru berkenaan terhadap tanggungjawab dan tugas masing-masing.
Menurutnya, ini termasuk memberikan latihan baru atau tambahan yang boleh meningkatkan semula semangat mereka untuk terus mengajar dengan gigih.
''Kita juga perlu mengkaji keadaan persekitaran tempat mereka mengajar kerana mungkin itu menjadi punca kemerosotan prestasi guru-guru ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan