Ahad, 29 November 2009

Desak segera pemilihan semula

Oleh Sazarina Shahrim dan Suzan Ahmad


PERWAKILAN yang hadir pada sesi Taklimat Khas MCA di Wisma MCA semalam, sebulat suara mendesak CC mengadakan pemilihan semula dengan segera.

Kumpulan pro-Liow mahu jawatan Ketua Wanita, Pemuda tak dipertanding

KUALA LUMPUR: Sesi taklimat khas anjuran kumpulan pro-Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam sebulat suara meluluskan Deklarasi 1128 yang mendesak supaya Jawatankuasa Pusat (CC) mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 60 hari.

Liow berkata, 1,193 perwakilan yang hadir pada sesi taklimat khas itu, bagaimanapun mahu jawatan Ketua Wanita dan Pemuda tidak dipertandingkan.

Beliau berkata, hanya dengan pemilihan semula ini dapat mengembalikan demokrasi, maruah dan integriti parti yang kini berhadapan dengan krisis kepemimpinan.

"Perwakilan yang hadir hari ini sebulat suara dan lantang mahu pemilihan semula diadakan segera demi mengembalikan maruah dan integriti parti.

"Pergerakan Wanita dan Pemuda MCA tidak mempunyai masalah kerana kemelut MCA sekarang dihadapi oleh CC yang tidak dapat melaksanakan resolusi dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 10 Oktober lalu," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat itu yang turut dihadiri Ketua Wanita dan Pemuda, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Datuk Dr Wee Ka Siong.

Turut kelihatan ialah Naib Presiden, Tan Kok Hong serta bekas Setiausaha Agung, Datuk Seri Ong Ka Chuan yang turut memberikan ucapan pada sesi taklimat berkenaan.

Sesi taklimat itu dibuat menggantikan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dibatalkan selepas Liow mula berbincang dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk mengadakan pemilihan semula.

Pada sidang media itu juga, Liow mengumumkan 13 ahli CC menandatangani surat peletakan jawatan yang bagaimanapun hanya akan dihantar selepas tarikh pemilihan semula dipersetujui oleh semua pihak.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli CC lain supaya turut sama melepaskan jawatan bagi membolehkan pemilihan semula diadakan.


Tiada ulasan: