Ahad, 29 November 2009

Pembangkang 'buta' - Noh

UTUSAN ONLINE


JEMPOL - Penasihat DAP, Lim Kit Siang diibaratkan seperti 'orang buta yang tidak melihat keadaan sebenar' apabila menggesa Biro Tata Negara (BTN) ditutup terus.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau hairan mengapa Kit Siang mengeluarkan kenyataan seperti itu sedangkan ia bertujuan untuk membentuk perpaduan di kalangan masyarakat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut membidas Kit Siang yang dilihat cuba menggambarkan semua tindakan kerajaan selama ini tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat.

"Dia macam orang buta nak bercakap mengenai perkara yang dia tak nampak. Pernahkah dia mengikuti BTN? Saya pernah jadi penceramah dan memberikan penerangan mengenai isu-isu semasa. Adakah saya mengamalkan perkauman?

"Adakah salah jika saya menceritakan apa-apa yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) melalui kementerian dalam membantu rakyat dengan subsidi dan sebagainya supaya orang muda terlibat dalam pertanian? Adakah itu juga disifatkan perkauman?'' soalnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Korban Perdana Jempol 2009 di Felda Raja Alias 2 yang turut dihadiri Ahli Parlimennya, Datuk Lillah Yassin.

Noh meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan taktik yang digunakan pembangkang untuk tujuan mengelirukan rakyat demi memastikan segala krisis dalaman pakatan pembangkang dapat disembunyikan.

Jelasnya, taktik itu termasuk menghentam kredibiliti beberapa agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta badan kehakiman negara.

"Dulu mereka serang PDRM sehingga kredibilitinya hilang. Kemudian diserang pula BPR (Badan Pencegah Rasuah) sehingga ditukar menjadi SPRM dan sekarang ini dibabitkan juga badan kehakiman.

"Kalau kemenangan berpihak kepada mereka dia kata memang dia betul. Kalau mereka kalah dalam kes, semuanya salah," katanya lagi.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor turut mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor melarang penjawat awam dan pelajar institusi pengajian tinggi mengikuti BTN.

Menurutnya, tindakan itu cuba menutup kelemahan pembangkang selain cuba mengalih pandangan rakyat di negeri itu untuk terus menagih janji-janji manis pembangkang selepas merampas negeri itu dari BN pada pilihan raya umum lalu.

"Keduanya saya melihat ia adalah cara mereka untuk menwujudkan isu perkauman. Sepatutnya mereka perlu menyokong kerana ia bertujuan untuk membentuk perpaduan di kalangan semua kaum.

"Saya fikir mereka melihatnya (BTN) sebagai ancaman. Kalau betul BTN ini sebagai satu sesi membasuh pemikiran supaya menyokong BN mengapa kita kalah di Selangor?," soal beliau.

Tiada ulasan: