BERITA HARIAN
IPOH: Projek penuaian air bawah tanah dalam daerah Batang Padang akan mengambil kira semua aspek terutama kesan alam sekitar dan kebaikan kepada rakyat sebelum ia dilaksanakan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kerajaan negeri akan mengkaji secara teliti dan berhati-hati sebelum melulus serta melaksanakan projek berkenaan.
Beliau berkata, perkara yang paling penting adalah menjamin pemuliharaan dan keselamatan alam sekitar serta keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.
"Model penuaian air bawah tanah di Batang Padang adalah berbeza dengan di Sarawak yang dikatakan membabitkan kos yang besar sehingga menyebabkan kerajaan negeri itu terpaksa menghentikannya.
"Macam mana dia tahu kos pengekstrakan air bawah tanah di Batang Padang sangat tinggi? Kita menggunakan model yang berbeza.... apa pun itu adalah pandangan peribadi dia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di sini, semalam.
Zambry mengulas kenyataan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman yang dilaporkan menggesa kerajaan membatalkan projek penuaian air bawah tanah di Batang Padang, Perak jika didapati ia merugikan.
Shahrum dipetik sebagai berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 bagi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Dewan Rakyat, kelmarin.
Projek air bawah tanah di Batang Padang akan dijalankan Sime Darby Berhad dan dijangka siap pada akhir tahun 2012.
Dalam perkembangan lain, Zambry berharap Kementerian Kesihatan akan dapat menunaikan komitmennya untuk melaksanakan beberapa projek pembesaran hospital dan pembinaan beberapa hospital baru di Perak dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Katanya, antara komitmen yang dinyatakan Kementerian Kesihatan adalah pembesaran Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dan Hospital Parit Buntar yang masing-masing membabitkan kos kira-kira RM200 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan