Sabtu, 28 November 2009

2 tahun tempoh kritikal bagi BN

Gerak kerja berkesan perlu untuk kembalikan semula sokongan: Muhyiddin

Oleh Kamal Ahmad


KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dua tahun akan datang sebagai tempoh kritikal bagi Barisan Nasional (BN) untuk mengembalikan semula sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan semua parti komponen BN supaya menggunakan tempoh kira-kira 730 hari itu untuk melaksanakan perubahan seiring kehendak rakyat.

Katanya, tempoh dua tahun itu adalah jangka masa yang pendek dan akan berlalu dengan pantas, justeru, mesti dipenuhi dengan gerak kerja yang perlu untuk membantu rakyat dengan memberi tumpuan kepada bidang yang mesti didahulukan.

Bercakap kepada Berita Harian berhubung isu, permasalahan dan penyelesaian yang perlu dihadapi BN dan Umno, beliau yang juga Ketua Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata: "Dua tahun ini saya fikir tempoh yang kritikal. Masa tidak panjang kerana masa berlalu cepat dan kita nak pastikan dalam tempoh itu sudah ada perubahan.

"Dalam tempoh itu juga rakyat sudah boleh menilai ada kewajaran untuk memberikan sokongan dan kepercayaan pada BN atau tidak."

Beliau berkata, bagi ibu kota, kerajaan mesti menyegerakan tindakan yang mampu meningkatkan lagi keselesaan dan taraf hidup warga kota selain menyelesaikan isu berkaitan Projek Perumahan Rakyat (PPR), pemindahan penduduk setinggan, pendekatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mengurus penjaja tidak berlesen serta peningkatan penjaja asing tanpa lesen sehingga memonopoli peluang dan ruang yang sewajarnya untuk peniaga tempatan.

Selain bercampur aduk isu nasional, permasalahan itu dimanipulasikan pembangkang sehingga menyumbang kepada kekalahan 10 daripada 13 calon BN bagi kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada pilihan raya umum lalu.

Diminta mengulas mengenai tindakan yang diambil bagi menangani pelbagai isu warga kota pula, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perhubungan BN Wilayah Persekutuan berkata: "Untuk itu kita (BN) bersetuju untuk membangunkan Pusat Khidmat BN di semua kawasan Parlimen (dalam Wilayah Persekutuan) di mana segala isu dan masalah berbangkit atau dihadapi masyarakat, akan kita uruskan dan diambil tindakan.

Soal kemiskinan di bandar raya juga diambil kira sama ada dia di kalangan (penduduk) kawasan setinggan, masyarakat penjaja atau sebagainya. Itu sebahagian daripada perhatian yang kita akan beri."

Ada 714,852 pengundi berdaftar di Wilayah Persekutuan ketika pilihan raya umum lalu, dan angkanya dijangka meningkat sehingga 5 peratus atas inisiatif pelbagai parti untuk meningkatkan sokongan masing-masing.

Ditanya usaha untuk mengembalikan kerusi BN yang diduduki pembangkang, Muhyiddin berkata: "Itu kita ada strategi tertentu. Kita tak payah nak umumkan kepada orang ramai kerana itu satu daripada matlamat kita."

Tiada ulasan: