Penghasilan hanya 16,044 judul buku 2008 tidak mencukupi: Puad Zarkashi
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
KUALA LUMPUR: Penghasilan hanya 16,044 judul buku oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sepanjang tahun lalu dilihat antara punca kegagalan memupuk minat membaca di kalangan rakyat negara ini yang mencecah 27 juta orang.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata hasil Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati lebih daripada separuh, iaitu 54.3 peratus rakyat negara ini membaca purata kurang tujuh halaman sehari.
Beliau yang menyifatkan hasil kajian itu sebagai memeranjatkan, berkata daripada jumlah 54.3 peratus itu pula, 12 peratus membaca purata kurang dua halaman sehari atau 50 halaman sebulan.
"Pendedahan ini sangat memeranjatkan kerana memperlihatkan betapa rakyat Malaysia tidak membudayakan membaca sebagai salah satu aktiviti harian walaupun buku dan bahan bacaan lain mudah didapati di merata-rata tempat.
"Namun kementerian tidak menyalahkan tabiat membaca rakyat di negara ini semata-mata kerana kita perlu juga melihat hasil kerja DBP. Statistik PNM pada 2008 mendapati hanya 16,044 judul buku dihasilkan DBP sedangkan jumlah rakyat kita 27 juta orang," katanya.
Bercakap ketika dihubungi Berita Minggu, semalam, Mohd Puad berkata, penerbit buku di Malaysia seharusnya menerbitkan 27,000 judul buku setahun bagi menampung keperluan rakyat dan masalah kekurangan buku sekarang harus ditangani segera berikutan Malaysia serius untuk menjadi negara maju pada 2020.
"Kerajaan menganggarkan 30 juta rakyat Malaysia menjelang 2020 dan bagi menampung keperluan itu, 30,000 judul buku harus diterbitkan setahun selaras dengan status Malaysia sebagai negara maju ketika itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan