Jumaat, 27 November 2009

AidilAdha Disambut Dengan Penuh Kesyukuran Di Seluruh Negara

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Hari Raya Aidiladha dengan penuh rasa kesyukuran disertai dengan semangat pengorbanan dalam menghadapi pelbagai dugaan dan bencana.

Walaupun banjir melanda beberapa negeri sejak minggu lepas terutama di Kelantan dan Terengganu, namun sambutan Aidiladha di negeri-negeri terbabit tetap meriah.

Di Terengganu, seramai 1,026 mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan banjir di Hulu Terengganu dan Marang menyambut kedatangan Aidiladha secara ala kadar.

Aidiladha merupakan hari kebesaran Islam di mana umat Islam di seluruh dunia memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dalam mentaati perintah Allah s.w.t.

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. ini merupakan tanda kebesaran Allah dan kekuatan iman kedua-dua Nabi Allah dalam mentaati suruhanNya.

Umat Islam disunatkan melakukan ibadat korban sebagai memperingati peristiwa Nabi Ibrahim A.S. yang diperintah Allah S.W.T. agar menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S. bagi membuktikan kepatuhan baginda terhadap suruhan Allah S.W.T. dan peristiwa itu menjadi lambang pengorbanan teragung dalam sejarah manusia.

Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama rakyat jelata di Masjid Negara di sini.

Turut berangkat dua anakanda baginda, iatu pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mu'az.

Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad mengimamkan solat sunat itu sebelum menyampaikan khutbah bertajuk 'Mewujudkan Keturunan dan Pemimpin Pelapis yang Soleh" yang antara lain menyentuh mengenai keperluan mendidik kanak-kanak dengan sebaik-baiknya sebagaimana pengorbanan Nabi Ibrahim a.s, bersama kedua-dua isterinya Siti Sarah dan Siti Hajar.

Hampir 5,000 jemaah dengan pakaian berwarna-warni bersama-sama menunaikan solat sunat itu, serta mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Tuanku Mizan.

Di shah Alam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 20,000 umat Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adatadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Datuk Dr Hassan Ali dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Solat sunat itu diimamkan oleh Mufti Selangor Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, dan majlis korban di masjid itu akan dilakukan esok membabitkan 28 ekor lembu.

Tiada ulasan: