Jumaat, 27 November 2009

Denggi paras bahaya

Oleh Halina Mohd Noor


PETALING JAYA: Kes demam Denggi di seluruh negara menghampiri paras bahaya apabila 819 kes baru dengan tiga kematian dilaporkan, minggu lalu, meningkat 99 kes atau 17 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Dua daripada kematian itu dilaporkan di Melaka manakala satu lagi di Pulau Pinang. Ini menjadikan jumlah kes keseluruhan setakat ini berjumlah 41,034 dengan 90 kematian.

Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Hasan Abdul Rahman, berkata jumlah kes baru minggu lalu sudah melepasi paras selamat ditetapkan Kementerian Kesihatan iaitu 616 kes.

Beliau tidak menolak kemungkinan demam denggi menjadi endemik jika masyarakat masih tidak berubah sikap.

Justeru, orang ramai diingatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan membersihkan kawasan rumah terutama bekas takungan air sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi mengelakkan penetasan telur nyamuk aedes.

“Jika masyarakat mengharapkan kerajaan untuk mencegah denggi, ini bermakna kita dalam bahaya. Memang kita boleh buat semburan atau membuat pemeriksaan, tetapi semburan hanya membunuh nyamuk dewasa bukannya larva atau telurnya.

“Seandainya orang ramai tidak mengubah sikap, kita bimbang kes denggi akan menjadi satu endemik. Nyamuk aedes membiak dengan lebih cepat pada musim tengkujuh,” katanya pada Dialog 1Malaysia mengenai denggi di sini, semalam.

Hadir sama, Profesor Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Malaya, Prof Dr Shamala Dewi dan personaliti, Sasha Basir.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataannya semalam berkata, kematian pertama minggu lalu membabitkan buruh berusia 32 tahun dari Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, Jasin, Melaka.

Kes kedua pula membabitkan kakitangan awam berusia 49 tahun, penghidap darah tinggi dari Kampung Lubuk Redan, Masjid Tanah, Melaka. Beliau meninggal dunia 12 November lalu kerana komplikasi Sindrom Kejutan Denggi.

Sementara itu, kes kematian di Pulau Pinang membabitkan pelajar lelaki berusia 10 tahun.

Dia meninggal dunia pada 20 November lalu.

Tiada ulasan: