Sabtu, 28 November 2009

Loji Tenaga Kimanis Dijangka Selesai Masalah Elektrik Di Sabah

SABAH DAILY


Cadangan projek Loji Tenaga Kimanis 300MW (KPP) di Kampung Kuala Benoni, Kimanis, Papar, dijangka dapat memenuhi keperluan bekalan elektrik Sabah yang semakin meningkat.

Ia juga akan digabungkan ke dalam sistem grid tenaga elektrik negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman akan merasmikan majlis pecah tanah bagi KPP esok, yang menandakan satu lagi lembaran baharu bagi Sabah.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Yayasan Sabah di sini kelmarin menyebut, kapasiti yang dirancang untuk KPP akan dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa pertama berkapasiti 100MW dan kapasiti fasa kedua ditingkatkan kepada 200MW.

KPP yang merangkumi kawasan seluas 41 hektar, dijangka siap pada akhir 2013.

KPP adalah usaha bersama antara PETRONAS Gas Berhad dan Kumpulan Yayasan Sabah menerusi anak syarikat milik penuhnya, NRG Consortium Sdn Bhd.

KPP adalah projek sampingan utama daripada projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis.

Sebahagian daripada pengeluaran gas asli dari medan luar pesisir Sabah akan diguna sebagai gas penyalur ke loji tenaga, kata kenyataan itu.

Menerusi perjanjian yang ditandatangani tahun lepas, Kimanis Power Sdn Bhd (KPSB) ditubuhkan bagi melaksanakan projek, dengan Petronas memegang 60 peratus kepentingan manakala Kumpulan Yayasan Sabah, 40 peratus.

KPSB akan memaju, melaksana dan menyelenggara infrastruktur dan kemudahan KPP serta berperanan mengedar dan menjual elektrik.

Menerusi perkongsian kukuh antara Kumpulan Yayasan Sabah dan PETRONAS Gas Berhad, keupayaan menjana tenaga negeri itu dijangka meningkat dengan ketara bagi memenuhi keperluan semasa dan akan datang, selari dengan pertumbuhan pesat industri dan ekonomi.

Tiada ulasan: