Ahad, 29 November 2009

Rakyat Kedah rasai sendiri perubahan PAS berbanding BN

OLEH WAN NORDIN WAN YAACOB


Rakyat Kedah kini dapat merasai sendiri perubahan-perubahan yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Azizan Abdul Razak setelah 20 tahun memerintah dan memakmurkan kerajaan negeri.

Menurut Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Helmi Khalid, paling ketara perubahan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat ialah memberi keutamaan kepada rakyat miskin untuk mendapatkan pembelaan dengan menubuhkan Takaful Kifaalah.

Ujar Helmi, skim berkenaan dinikmati rakyat miskin tanpa mengira kaum atau fahaman agama serta politik, terutamanya bagi kematian dengan mendapat RM500 jika berlaku.

Selain itu, kerajaan negeri telah mengumumkan 50 peratus potongan cukai tanah yang mana menyebabkan kerajaan mengalami kekurangan pendapatan sekitar RM50 juta.

"Ia adalaha semata-mata untuk kepentingan rakyat kerana rakyat tidak akan terbeban lagi dengan cukai yang tinggi sebelum ini.Namun walaupun kita mengalami kekurangan pendapatan dalam cukai tersebut, pendapata dalam cukai disektor lain meningkat selain pendapatan dari tender balak yang meningkat.

"Jika di zaman kerajaan BN dahulu, pendapatan bagi satu hektar balak hanya dapat sekitar RM1000 kepada kerajaan negeri, tetapi sebaik PAS memerintah, kita dapat bagi keluasan yang sama sekitar RM16,000, ini kerana tiadanya ketirisan," katanya lagi.

Dalam sektor perumahan pula, kerajaan negeri telah membuat satu garis panduan pembangunan hartanan dengan melarang kawasan-kawasan pertanian untuk dijadikan projek perumahan, katanya.

Selain itu, kerajaan negeri juga memberi garis panduan kepada pemaju perumahan agar memperbanyakkan projek perumahan kos rendah dan sederhana agar golongan miskin dan sederhana dapat memiliki rumah, katanya.

Melalui syarikat milik kerajaan negeri, Bina Darulaman Berhad (BDB), telah menjalankan projek pembinaan rumah mampu milik sejumlah 420 unit rumah kos rendah di Kubang Pasu dan 440 di Baling, katanya.

"Semua ini dijalankan untuk golongan berpendapatan rendah.Dan dalam projek Hidrocarbon Hub (Sulihh) pula, kerajaan negeri tidak mengambil tanah sawah untuk dijadikan tapak projek, ini yang rakyat semua tahu, berbeza dengan kerajaan BN sebelum ini," katanya.

Dalam sektor pendidikan pula, ujar Helmi kerajaan negeri telah berjaya mengembangkang pembangunan pengurusan dan pentadbiran Kolej Universiti Insaniah.

Antaranya, jika 13 tahun lalu hanya lapan jurusan sahaja yang ditawarkan di Insaniah, sebaliknya selepas beberapa bulan memerintah Kedah, kini Insaniah telah memiliki 40 jurusan termasuk bidang teknikal, perubatan dan pengurusan, katanya.

Kerajaan negeri juga berjaya mencari satu tapak baharu di Kuala Ketil dengan keluasan 830 hektar bagi pembinaan kampus baru (kampus induk) bagi menggantikan kampus sediaada setelah perkembangan kemasukan pelajar ke Insaniah meningkat akhir-akhir ini, ujarnya.

Kerajaan negeri juga telah menyediakan sebuah kilang pemprosesan dan pengetinan makanan bagi memudahkan hasil-hasil para petani dan nelayan ditinkan dan dipasarkan ke peringkat yang lebih jauh termasuk ke luar negara, katanya.

Di peringkat pemasaran pula, Kedah Agro akan mengambil tanggungjawab memasarkan hasil-hasil yang telah ditinkan itu untuk dipasarkan ke luar negara yang mana permintaan pasarannya telahpun ada, katanya.

"Jika zaman kerajaan BN dahulu, mereka hanya berikan bantuan untuk tanam seperti baja dan kursus, tetapi pemasaran tak dibuat, akibatnya lambakan hasil pertanian berlaku, " katanya.

Selain itu, rakyat di negeri ini juga menikmati penjimatan yang diamalkan oleh kerajaan negeri yang mana Menteri Besar sendiri tidak menggunakan kemudahan penerbangan dalam urusan rasmi, kecuali dua kali sahaja dalam kes kecemasan.

Selain itu, Menteri Besar juga tidak mengambil elaun selaku Pengerusi beberapa GLC dan tidak bercuti di luar negara bagi menjimatkan belanja pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri, kata Helmi.

"Tahun ini juga kita cipta sejarah kepada pendapatan kerajaan negeri apabila beberapa buah GLC telah memberikan sumbangan RM30 juta kepada kerajaan negeri, ini tak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Atas asas itu, Hemli menyatakan keyakinan bahawa rakyat di Kedah kini mula dapat melihat dan merasai akan perubahan sebenar yang dibawa PAS dan Pakatan Rakyat dalam memerintah kerajaan negeri berbanding BN sebelum ini.

Tiada ulasan: