Buletin Online
Pengarah Piala Monsun, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata matlamat tersirat penganjuran perlumbaan perahu layar itu telah dicapai.
Katanya 'kejayaan' yang dimaksudkan sukar diterjemah dalam bentuk data atau statistik, tidak dinafikan sejak ia dimulakan pada 2004, pelbagai sektor di negeri pantai timur itu menerima manfaatnya sama ada secara langsung atau tidak.
Ramai yang tertanya-tanya, apa kejayaan yang sukar di terjemah yang dimaksudkan oleh bekas Exco Terengganu itu.
Rupa-rupanya, Berita Harian hari ini, Isnin, 30 November menceritakan segalanya. Ikuti laporan yang berlaku beberapa meter sahaja dari tapak konsert piala monsun yang akan diadakan;
Remaja berkeliaran hidu gam curi barangan jejas keselesaan pengunjung
KUALA TERENGGANU: Kehadiran sekumpulan remaja yang dipercayai kutu rayau di Taman Syahbandar, di sini, menimbulkan kebimbangan dan rasa tidak senang di kalangan pengunjung apabila kumpulan berkenaan turut menjadikan taman itu sebagai tempat tinggal.
Tinjauan Edisi Timur mendapati kumpulan remaja berkenaan termasuk dua perempuan bawah umur itu dipercayai mempunyai masalah dengan keluarga masing-masing sekali gus menjadikan wakaf di kawasan itu sebagai ‘rumah’. Kehidupan yang terbiar menyebabkan majoriti mereka terbabit dengan gejala tidak sihat seperti menghidu gam.
Difahamkan sebelum ini, mereka pernah menjadikan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebagai tempat tinggal, bagaimanapun gelagat mereka yang menyakitkan mata masyarakat menyebabkan mereka dihalau pihak berkuasa.
Bagaimanapun, selepas dihalau dari Hentian Bas MBKT, kumpulan berkenaan menemui ‘port’ baru di tapak rekreasi awam yang menghadap kuala Sungai Terengganu di Taman Syahbandar.
Tindakan mereka menjadikan wakaf di kawasan itu sebagai ‘rumah’ menimbulkan ketakutan pengunjung, malah bau busuk daripada pembuangan najis merata-rata meloyakan tekak sekali gus meragut keindahan dan kedamaian taman waterfront itu yang selama ini menjadi kebanggaan dan antara mercu tanda baru di bandar raya ini.
Seorang tukang sapu, Rozali Awang, 53, berkata masalah itu sudah dua bulan berlanjutan tetapi setakat ini belum ada tindakan daripada pihak berkuasa.
Katanya, ramai pengunjung di taman itu berang dengan tindakan kumpulan berkenaan yang sering meminta duit dan mencuri barangan orang ramai malah mereka juga sering berkeliaran dan membuat bising.
“Sejak mereka muncul di taman ini, banyak perkara buruk berlaku dan pernah suatu ketika saya lihat seorang daripada ahli kumpulan mereka mencuri susu bayi yang ditinggalkan sepasang suami isteri yang terpaksa membawa anaknya untuk menukar lampin di tandas awam berdekatan.
“Melihatkan kejadian itu, saya segera melaporkannya kepada pasangan berkenaan tetapi kutu rayau yang mencuri susu bayi itu sudah lesap melarikan diri,” katanya.
Seorang pengunjung, Azhari Hussin, 35, berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap kumpulan kutu rayau berkenaan kerana ia mencemar imej bandar raya ini.
“Mungkin mereka ini perlu dibantu dengan dihantar ke pusat pemulihan atau pusat kemahiran supaya dapat menjadi anggota masyarakat yang berguna kerana mereka masih muda,” katanya.
Selain mencemar pandangan dan mencuri barangan pengunjung yang ingin bersantai di kawasan itu, kumpulan itu juga dipercayai terbabit dengan kegiatan menghidup gam berikutan banyak tin gam yang ditemui berselerak di kawasan rekreasi itu.
“Saya pernah menasihatkan seorang anggota kumpulan itu, tetapi niat baik saya dibalas dengan amaran keras berbaur ugutan. Mereka masih muda dan banyak perkara dapat dibuat selain berpeleseran,” katanya.
Seorang lagi pengunjung tetap taman rekreasi itu, Jamhuri Nawang, 47, berkata dia bimbang dengan kehadiran kumpulan remaja liar di kawasan itu kerana jika tidak dibendung bilangan mereka akan bertambah tidak lama lagi sekali gus merosakkan imej kawasan itu yang disediakan kerajaan untuk manfaat orang ramai melapangkan fikiran selepas bekerja.
“Saya tidak tahu mereka datang dari mana, tetapi daripada cara percakapan saya percaya mereka ini penduduk tempatan malah setiap pagi saya lihat mereka seperti mayat bergelimpangan di bangku rehat taman rekreasi dengan selimut dan bantal bersepah seperti rumah mereka.
“Saya harap pihak berkuasa segera memantau masalah ini kerana kewujudan kumpulan ini sememangnya mencacatkan pemandangan di taman ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan