Isnin, 30 November 2009

Tidak upaya hasilkan vaksin H1N1, tempah 400,000 dos harga RM14 juta

Azamin Amin


KUALA LUMPUR : Parlimen hari ini dimaklumkan bahawa sejumlah 400,000 dos vaksin H1N1 berharga RM14 juta telah ditempah dan dan bekalan pertama vaksin H1N1 berjumlah 46,000 dos telah diterima bulan ini.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (BN-Papar) bahawa menjelang bulan depan negara mempunyai 78,000 dos vaksin itu dan selebihnya dijangka diperolehi pada Januari depan.

"Vaksin ini akan diberikan kepada petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan pesakit dan juga keselamatan negara serta kepada kumpulan berisiko tinggi," katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah).

Rosnah memberitahu bahawa walaupun negara belum berupaya menghasilkan vaksin tetapi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan penyelidikan terhadap genetik virus A (H1N1).

Kerajaan katanya telah menubuhkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan bagi menyelidik dan menghasilkan vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit seperti Influenza A (H1N1).

Syarikat itu, 9BI0, dijangka menjalankan penyelidikan dan menghasilkan vaksin bagi kegunaan tempatan dan negara-negara serantau, katanya.

Sebelum itu, Rosnah menjelaskan bahawa kementerian sedang bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal antarabangsa iaitu GlaxoSmithKline yang berpusat di London bagi mendapatkan vaksin tersebut.

Fong dalam soalan tambahannya mahu kementerian memberitahu langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan supaya pelawat, pelancong dan rakyat tidak bimbang dengan gejala yang berlaku, seperti di Austarlia di mana, tiada tanda ketakutan dan kerisauan kepada pelancong yang datang ke negara tersebut.

"Adakah langkah yang diambil seperti pengawasan di KLIA?

"Tiger Wood boleh datang ke Australia tanpa rasa bimbang dan Austraia menangani H1N1 seperti penyakit biasa. Adakah kerajaan mempunyai perancangan dan langkah-langkah seperti itu?" katanya.

Rosnah menjawab bahawa tindakan dan langkah-langkah kerajaan menangani penyakit tersebut dianggap antara yang cemerlang berbanding negara lain.

"Setakat ini jumlah kematian kekal 77 orang dan ianya tidak sampai satu peratus," katanya.

Tiada ulasan: