DETIK DAILY
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) berpendapat bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah berkali-kali menyalahguna kuasa serta memutarbelitkan bidang kuasa dalam urusan pilihanraya. SPR bukan sahaja tidak akur kepada keputusan Speaker Kedah yang mengosongkan kerusi DUN, malahan telah mewakili ADUN UMNO untuk memohon penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi. Jelasnya bahawa SPR telah hilang kredibiliti serta kedudukan bebas badan tersebut
Mengikut Perkara 113 (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR adalah sebuah badan yang diamanah untuk mengendalikan pilihan raya secara adil dan bebas. SPR bertanggungjawab untuk memastikan penjalanan pilihanraya adalah bebas, adil dan bersih. Prinsip dan nilai demokrasi perlu ditegakkan demi kepentingan rakyat jelata.
Namun, sejak peristiwa tiga ADUN Perak lompat parti menjadi ADUN Bebas yang berpihak kepada BN sehingga kes DUN Kota Seputeh, SPR tidak pernah akur kepada keputusan Speaker. Tindakan SPR yang jelasnya berat sebelah kerana masih bersikap kepala batu untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin dalam membuat keputusan Mahkamah Tinggi juga mengemukakan kemusykilan beliau terhadap tindakan SPR yang memohon penangguhan keputusan. Sepatutnya bekas ADUN Kota Seputeh, Abu Hassan Sarif yang perlu membuat permohonan.
Sebenarnya sudah lama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) telah berusaha serta mendesak agar proses pilihanraya di Malaysia dapat diperbetulkan dan diperbaharui. Namun SPR bukan sahaja tidak menerima cadangan yang dikemukakan oleh BERSIH, malahan sanggup dijadi alat kepada BN dan sekaligus meyebabkan badan tersebut hilang kredibiliti serta integriti.
Oleh itu, Angkatan Muda Malaysia menyeru SPR agar insaf serta berani untuk menjalankan perubahan demi menegakkan demokrasi dengan segera di dalam negara kita. Nilai sebenar demokrasi adalah mengembalikan kuasa kepada rakyat. Rakyat perlu diperkasakan untuk menentukan pimpinan negara dengan mengundi pemimpin yang membela rakyat.
*Kenyataan media oleh Lee Khai Loon selaku Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan