Khamis, 26 November 2009

Ditahan masuk wang palsu dalam mesin deposit tunai

Oleh Azmi Md Deros


ASRI (dua dari kanan) bersama pegawai penyiasat, Inspektor Bibi Jan Ali Haiders menunjukkan wang kertas RM50 palsu yang dirampas dari sepasang suami isteri pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, semalam.

ALOR SETAR: Polis Kedah menumpaskan kegiatan mencetak wang palsu dan memasukkannya dalam akaun menerusi mesin deposit tunai (CDM) sebelum mengeluarkan wang tulen selepas menahan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 20 tahun serta merampas 232 keping wang RM50 berjumlah RM11,600 di sini, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Asri Yusuf, berkata modus operandi pasangan itu ialah membelah dua wang RM50 tulen dan dilekatkan dengan satu lagi bahagian yang dicetak atas kertas bersaiz A4 yang dipotong mengikut saiz wang sebenar serta dikeringkan menggunakan haba lampu dan seterika.

"Selepas itu, mereka memasukkan wang berkenaan dalam akaun bank melalui CDM dan mengeluarkan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM). Bagi setiap wang tulen RM50 dipalsukan, mereka mampu memperoleh RM100.

"Sejak memulakan kegiatan pada Julai lalu, suspek memasukkan wang melalui CDM dalam jumlah yang kecil, tetapi makin aktif pada pertengahan September lalu sehingga mencecah RM26,000.

"Wang palsu dalam mesin CDM itu ditemui pegawai bank dan syarikat kawalan keselamatan yang kemudian membuat laporan polis," katanya semalam.

Suspek melakukan kegiatan mencetak wang palsu di sebuah motel di Hentian Bas Shahab Perdana, di sini dan dipercayai mempelajari teknik itu melalui seorang rakan berusia 20-an yang masih bebas.

Difahamkan, suspek hanya menggunakan akaun bank tertentu yang mesin CDM bank berkenaan tidak mempunyai ciri keselamatan ketat dan gagal mengesan wang palsu.

Azri berkata, dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Wira Mergong, di sini polis menemui sejumlah wang kertas palsu, seterika, gam, pengimbas wang kertas, gunting, dakwat, mesin pencetak dan pisau.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil penubuhan pasukan petugas khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Kedah selepas menerima 105 laporan penemuan wang palsu dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.

"Sepanjang tempoh itu, polis menemui 2,172 wang palsu bernilai RM110,155," katanya.

Suspek ditahan reman selama enam hari mulai semalam dan disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: