Ahad, 29 November 2009

Komponen perlu selesai krisis dalaman

BN kena tambat kembali hati rakyat jika mahu menang pilihan raya umum akan datang

Oleh Zanariah Abd Mutalib


KUALA LUMPUR: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya menyelesaikan segala pergolakan dalaman mereka dengan segera dan menumpukan kepada usaha menambat kembali hati rakyat jika tidak mahu ditolak dalam pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata ini bukan masanya lagi untuk parti komponen bercakaran merebut jawatan dalam parti kerana rakyat mahu melihat perubahan yang dijanjikan BN dengan segera.

"Tempoh untuk kita kembali menawan hati rakyat semakin singkat dan kita mesti lakukan perubahan yang dijanjikan. Kita mahu semua 13 parti komponen BN berubah. Bukan kuasa yang kita utamakan tetapi perkhidmatan kepada rakyat yang perlu diberi perhatian," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan dua tahun akan datang sebagai tempoh kritikal bagi BN untuk mengembalikan semula sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

Tengku Adnan memberi contoh, kerajaan mesti menyegerakan tindakan yang mampu meningkatkan taraf hidup warga kota selain menyelesaikan beberapa isu berkaitan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), pemindahan setinggan dan pendekatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam menyelesaikan masalah setempat.

Katanya, BN seharusnya mengambil iktibar melalui kekalahan di lima negeri dan majoriti kawasan Parlimen dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pilihan raya umum yang menunjukkan penolakan rakyat atas pelbagai sebab termasuk kealpaan pemimpin dalam menjaga kebajikan mereka.

Tiada ulasan: