Ahad, 29 November 2009

Jualan minyak sawit ke Eropah tergugat

BERNAMA


Mula-mula sekali isu kesihatan, kemudiannya alam sekitar dan kini minyak sawit terpaksa berdepan dengan kriteria kelestarian untuk diimport ke Eropah.

"Definisi kelestarian sedang diperluaskan. Kita bakal kehilangan bahagian pasaran sekiranya kita tidak melakukan apa-apa," kata ketua pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Mohd Basri Wahid kepada Bernama di Brussels baru-baru ini.

Basri merupakan sebahagian daripada anggota delegasi minyak sawit dan kayu ke Jerman dan Belgium baru-baru ini yang diketuai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok.

Misi itu dianjurkan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Perkayuan Malaysia (MTC).

Ia bertujuan, antara lain, untuk meningkatkan akses pasaran bagi produk minyak sawit dan kayu serta menyebarkan maklumat tentang usaha-usaha yang diambil berkaitan isu-isu kelestariannya.

Kesatuan Eropah (EU) telah menetapkan sasaran 20 peratus sumber tenaga boleh diperbaharui dalam penggunaan tenaganya menjelang 2020 dan biofuel dijangka menyumbang 10 peratus daripada tenaga boleh diperbaharui yang digunakan dalam sektor pengangkutan.

EU Renewable Energy Directive (peraturan arahan) yang menjangkakan kenaikan permintaan, menyediakan beberapa kriteria kelestarian, antaranya, pengeluaran biofuel perlu mempunyai minimum tabungan gas rumah hijau (GHG) 35 peratus pada 2010 apabila dibandingkan dengan bahan api fosil.

Menurut peraturan arahan itu, kawasan yang mempunyai bekalan karbon tinggi seperti tanah gambut atau kawasan dengan biodiversiti tinggi seperti kawasan hutan utama tidak boleh digunakan untuk pengeluaran biofuel.

Basri berkata, terdapat juga kriteria "penukaran penggunaan tanah tidak langsung" atau "iLUC".

"iLUC" merupakan kesan-kesan tidak disengajakan daripada pengeluaran lebih banyak karbon disebabkan penukaran penggunaan tanah ekoran pengembangan kawasan tanaman bagi pengeluaran biofuel, fenomena yang menghasilkan biomas di satu lokasi, manakala hutan hujan dimusnahkan di lokasi lain.

Peraturan arahan itu menuntut Suruhanjaya Eropah menyediakan satu laporan pada 2010 mengenai isu iLUC, menyemak semula kesan daripada biofuel, sama ada secara langsung atau menerusi pemindahan, di tanah yang berlaku aktiviti penukaran tanaman.

"Mereka menilai iLUC tanpa sebarang kajian yang lengkap," kata Basri.

Beliau berkata di bawah perkiraan EU, minyak sawit mempunyai tabungan pengeluaran karbon 19 peratus dan kacang soya 31 peratus, kedua-duanya di bawah had 35 peratus.

"Kita menyediakan data kita tetapi mereka tidak. Penyelidik saya pergi ke Brussels tetapi mereka (EU) tidak pernah mendedahkan (data mereka). Mereka mempunyai kata putus akhir," katanya.

Dilaporkan bahawa tabungan GHG bagi minyak sesawi ialah 38 peratus, minyak bunga matahari 51 peratus dan etanol tebu 71 peratus.

Basri berkata sasaran tabungan GHG EU akan dinaikkan perlahan-lahan daripada 35 kepada 60 peratus menjelang 2017, oleh itu mustahak bagi pengeluar Malaysia untuk memerangkap metana di kilang-kilang yang akan menunjukkan tabungan GHG yang lebih tinggi.

Beliau berkata kerajaan menyediakan pinjaman mudah bernilai RM1.2 bilion dan terpulang kepada industri untuk mengambilnya bagi menambah baik proses mereka.

"Jika ada sikap acuh tak acuh, jangan salahkan kami. Kerajaan telah melaksanakan bahagiannya dengan wang dan kini terpulang kepada sektor swasta," katanya.

Basri berkata Malaysia juga bekerjasama dengan Indonesia membentuk kumpulan kerja bagi membincangkan strategi bersama berkaitan dengan peraturan arahan EU itu.

Difahamkan bahawa kriteria kelestarian itu dilihat oleh industri minyak sawit di kedua-dua negara itu sebagai halangan perdagangan, terutamanya dicipta terhadap minyak sawit.

Beliau berkata EU mempunyai pendirian yang sama mahu memastikan pengeluaran minyak sawit yang lestari dan selepas ini, mereka perlu memikirkan perkara yang lain.

"Meskipun misi minyak sawit baru-baru ini menyaksikan menteri-menteri di negara terbabit memahaminya, namun mereka masih perlu mendengar daripada organisasi bukan kerajaan," katanya.

Basri berkata, sebagai contoh, seorang daripada menteri yang beliau temui yakin pengeluaran minyak sawit lestari tetapi menjadi tugas yang sukar untuk meyakinkan 26 negara lain dalam EU.

Bagaimanapun, beliau berkata ada orang yang faham dengan situasi tersebut dan berharap syarikat-syarikat Malaysia boleh menikmati insentif daripada kerajaan EU selepas mengesahkan minyak sawit lestari.

Tiada ulasan: