Isnin, 23 November 2009

Hasil bedah siasat kedua 9 Disember

Oleh Suhana Roslan


SUNGAI BULOH: Keputusan mengenai hasil bedah siasat kedua mayat Teoh Beng Hock akan diketahui apabila Mahkamah Koroner Shah Alam menyambung siasatan pada 9 Disember ini.

Proses bedah siasat kedua itu berlangsung hampir dua jam di Hospital Sungai Buloh bermula kira-kira jam 1 tengah hari selepas pelbagai proses imbasan dilakukan oleh enam pakar patologi yang juga bertindak mengendalikan bedah siasat berkenaan.

Mereka yang terbabit Ketua Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, Dr Prashant Naresh Samberkar dan Dr Khairul Azman Ibrahim manakala pakar patologi, K Saravanan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, ditugaskan merakamkan gambar bedah siasat itu.

Turut hadir sebagai pemerhati pakar forensik bebas, Prof Dr Peter Vanezis dari United Kingdom yang dilantik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pakar patologi Thailand, Dr Porntip Rojanasunan yang mewakili kerajaan Selangor.

Adik perempuan Beng Hock, Lee Lan ketika ditemui di luar bilik mayat berkata, beliau dan ahli keluarga tidak dimaklumkan mengenai status atau keputusan bedah siasat kedua abangnya itu.

“Semuanya berjalan dengan lancar, dan mengambil masa selama hampir dua jam berbanding jangkaan sebelum ini yang menyatakan proses bedah siasat akan mengambil masa antara tujuh hingga lapan jam.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dalam urusan bedah siasat kedua abang saya terutama Dr Porntip, ” katanya.

Lee Lan berkata, proses pengebumian akan disempurnakan sekali lagi Selasa ini kira-kira jam 10 pagi di Taman Peringatan Nirvana Semenyih Selangor, di sini.

Sementara itu, peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo, mendakwa sekumpulan individu yang tidak dikenali mengekori Dr Porntip sejak malam Jumaat lalu dan perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pakar patologi itu.

“Dr Porntip memberitahu saya, beliau diekori dari tempat penginapannya sehingga ke Taman Peringatan Nirvana. Bagaimanapun, kami sudah melaporkan perkara ini kepada polis dan sehingga hari ini beberapa anggota polis memantau pergerakan wanita itu, ” katanya.

Kelmarin, mayat Teoh digali selepas Mahkamah Koroner Shah Alam membenarkan permohonan keluarga Teoh untuk menggali semula mayat mendiang bagi menentukan punca sebenar kematiannya selepas dipercayai jatuh dari bangunan Plaza Masalam di sini, Julai lalu.

Permohonan itu dibuat berikutan keterangan Dr Pornthip di mahkamah yang mendakwa 80 peratus kemungkinan Teoh mati akibat dicekik dan didera.

Tiada ulasan: