BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kira-kira 140 budak lelaki berusia enam hingga 12 tahun menyertai program berkhatan menggunakan teknik Smart Klamp anjuran Masjid Negara dan Rumah Khitan Sdn Bhd di Masjid Negara di sini, semalam.
Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, berkata sambutan yang diterima Masjid Negara untuk permohonan berkhatan tahun ini amat menggalakkan dan jumlah peserta lebih ramai dari tahun sebelumnya.
“Tahun lalu, kita hanya ada 80 orang yang berkhatan di sini, tapi tahun ini Alhamdulillah bertambah dari sebelumnya iaitu kira-kira 140 orang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian program berkhatan itu sempena cuti persekolahan.
Tinjauan Bernama mendapati pelbagai ragam dan reaksi peserta program itu termasuk menangis, menjerit dan cuba mengelak daripada dikhatankan dan perlu sentiasa dipujuk serta ditenangkan ibu bapa mereka.
Antara mereka ialah Mohd Anas Kamarudin, 10, dari Taman Muda, Ampang yang sentiasa membaca surah Al-Fatihah dan An-nas sambil menutup muka dengan menggunakan songkoknya ketika dikhatan.
Selain itu, pasangan Sidek Ali Jobad Ali, 58, dan Hamidah Hussein, 53, sanggup datang dari Ipoh untuk mengkhatankan anak kembar mereka, Akmalluddin Abas dan Ikmalluddin yang berusia 10 tahun.
Sementara itu, pembantu penyelaras program khatan, Ustaz Jamal Nahar Ibrahim, 29, berkata teknik Smart Klamp digunakan kerana ia cepat dan selamat untuk mengkhatankan seseorang individu dengan hanya mengambil masa 15 minit saja.
“Pada tahun sebelum ini, dua doktor mengendalikan program khatan itu dan mereka mampu mengkhatankan 20 orang sehari dengan 30 minit diperlukan untuk mengkhatankan seseorang individu,” katanya.
Ini kali pertama Masjid Negara menganjurkan program berkhatan menggunakan teknik Smart Klamp.
Bagi program itu, setiap peserta dikenakan bayaran RM150.
Pegawai perubatan dari Rumah Khitan, Mohamad Zaidi Radzuan, berkata selain cepat digunakan, teknik Smart Klamp membolehkan seseorang yang berkhatan terus bergerak tanpa masalah.
“Cara dulu, setiap kali berkhatan mesti dijahit dan perlu rehat pada masa yang lama, tetapi dengan berkhatan guna Smart Klamp ini, seseorang itu hanya perlu rehat dalam 24 jam pertama saja,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan