Oleh Betty Subaryati
KOTA BHARU: Kira-kira 1,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini, dipindahkan ke asrama sekolah yang menjadi pusat peperiksaan mulai semalam, bagi memastikan mereka tidak menghadapi masalah menduduki peperiksaan itu ekoran banjir gelombang kedua.
Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Abd Rahman, berkata semua pelajar terbabit dipindahkan dari sekitar Rantau Panjang, Pasir Mas dan serta Tumpat, yang dilanda banjir kali kedua mulai semalam.
“Esok (hari ini), 900 calon kembali menyambung SPM yang diduduki sejak 18 November lalu membabitkan kertas Matematik 1 dan II, manakala kira-kira 100 calon menduduki STPM yang bermula esok (hari ini).
“Antara sekolah yang menempatkan semua pelajar terbabit termasuk Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab, Banggol Kulim; SMK Rantau Panjang; SMK Kampung Laut, SMK Gual Periuk,” katanya selepas melawat calon SPM yang berada di pusat pemindahan banjir, SK Gual Tinggi.
Mohd Ghazali berkata, langkah memindahkan semua calon terbabit di asrama sekolah bertujuan memudahkan mereka mengulang kaji tanpa gangguan berbanding di pusat penempatan mangsa banjir.
Sehingga jam 9 malam tadi, 2,428 dipindahkan di seluruh negeri dengan semua sungai utama kini melepasi paras bahaya, akibat hujan berterusan sejak Khamis.
Laluan Kota Bharu menuju ke Kuala Krai dan Gua Musang serta Kuala Lumpur turut terputus apabila tidak boleh dilalui semua kenderaan akibat ditenggelami lebih 0.6 meter di Kilometer 66 Jalan Kuala Krai, berhampiran Kampung Sungai Durian.
Selain laluan Kota Bharu dan Kuala Krai yang terputus, 16 lagi jalan ditutup kepada kenderaan akibat ditenggelami banjir antara 0.5 hingga 1.5 meter.
“Paras air sungai seluruh negeri juga sudah mencapai tahap bahaya. Sungai Lebir di Tualang sudah melepasi 35.40m; Sungai Golok di Jenob mencapai 24.65m manakala di Rantau Panjang 10.45m; Sungai Kelantan di Tangga Krai 26.25m; di Tanah Merah 17.95m manakala di Tambatan D'Raja, Kota Bharu 4.85m,” katanya.
Tinjauan Berita Harian mendapati kawasan perniagaan bebas cukai Pekan Rantau Panjang juga lumpuh akibat ditenggelami banjir mencapai kedalaman antara 1 hingga 1.5 meter, menyebabkan premis niaga di situ ditutup pemiliknya sejak kelmarin.
Pintu masuk sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) Rantau Panjang lenggang apabila jalannya ditenggelami air.
Di KUANTAN, mangsa banjir ini meningkat kepada 34 orang dengan dua pusat pemindahan iaitu balai raya Kampung Chendor dan Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating, dekat sini mula dibuka sejak malam kelmarin.
Daripada jumlah itu, 30 orang membabitkan empat keluarga ditempatkan di SK Cherating sejak jam 9 malam kelmarin termasuk tiga keluarga yang sebelum ini dipindahkan sementara di surau Kampung Sungai Ular sejak Jumaat lalu.
Satu lagi keluarga membabitkan empat orang pula dipindahkan ke balai raya Kampung Chendor kira-kira jam 10 pagi semalam selepas rumah mereka dinaiki air sehingga paras pinggang.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang ibu yang baru sebulan melahirkan bayi perempuan, Che Wan Alisa Aina Che Wan Ahmad turut dipindahkan ke pusat pemindahan SK Cherating selepas rumahnya dinaiki air.
Di IPOH, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Kerian berkata mangsa banjir masih ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir di daerah itu iaitu Sekolah Kebangsaan Bagan Serai, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bagan Serai, Sekolah Kebangsaan Matang Buluh dan SJKT Simpang Lima.
"Kampung yang masih dilanda banjir adalah Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian, Kampung Euw Sing dan Kampung Parit Simpang Lima. Ia dinaiki air lebih satu meter akibat limpahan empangan Kolah Bukit Merah dan Sungai Beriah kerana hujan berterusan sejak 10 hari lalu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan