TV SELANGOR
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor turut menyokong perlantikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi.
Mereka menyifatkan pengalaman Anwar sebagai Mantan menteri kewangan dan timbalan perdana menteri akan memberi kelebihan kepada kerajaan negeri dalam mengemudi hala tuju ekonomi Selangor.
ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari berkata kepintaran dan kebijaksanaan Anwar dalam menguruskan ekonomi harus diguna pakai dalam memacu ekonomi negeri.
“Selepas disingkir dari kerajaan dan keluar dari penjara, beliau terus dipanggil di seluruh dunia baik dari universiti mahupun badan gabungan perniagaan lain untuk menjadi penasihat, pemikir dan pembicara bagi sesuatu program.
“Ini menunjukkan hormat masyarakat antarabangsa begitu tinggi kepada beliau dan kita harus gunakan ruang itu untuk meningkat dan menjana serta memperhebat pencapaian ekonomi Negeri Selangor,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri melantik Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor berkuatkuasa semalam.
Khalid dalam sidang medianya semalam berkata, Anwar hanya diberi gaji sebanyak RM 1 sebulan dan pelantikan beliau dibuat bagi memperkasa dan memantapkan agenda pembangunan serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Sementara itu, ADUN Sekinchan, Ng Swee lim berkata, tindakan berkenaan adalah wajar dan tepat pada masanya memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Saya sambut baik pelantikan beliau, memang tepat pada masanya dalam keadaan ekonomi tidak menentu. Memandangkan Anwar seorang pakar dalam ekonomi dan mantan menteri kewangan serta mempunyai jaringan meluas seluruh dunia dan merupakan penasihat beberapa bank di dunia.
“Dengan itu saya rasa dia dapat berbakti beri nasihat baik dan wajar kepada kerajaan Negeri Selangor supaya dapat bersaing lebih agresif khususnya menarik pelaburan asing dan memacu ekonomi,”katanya.
Bagi ADUN Bangi, Dr Shafie Abu Bakar pula, beliau yakin Anwar bakal Berjaya memperkukuh ekonomi Selangor sekali gus menjadi contoh kepada semua kerajaan negeri yang ada.
“Kita usahakan Selangor lebih maju lebih kedepan dari segi ekonomi, pendapatan negeri akan maju. Memang Selangor layak dan berada di baris hadapan. Kita perlu tingkatkan lagi kemajuan sedia ada supaya terserlah.
“Pelantikan Anwar kena pada tempatnya sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Bekas Menteri Kewangan, dia sebagai orang yang memang arif dalam bidang ekonomi, kewangan dan politik, dia orang paling sesuai,”katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan