TV SELANGOR
Parti Keadilan Rakyat Selangor mengadakan persidangan besar-besaran di Shah Alam hari ini.
Bertemakan “Menggilap Harapan Rakyat”, sebanyak 22 cabang PKR negeri bersidang dalam majlis yang dirasmikan Presiden Datuk Dr. Sri Wan Azizah Wan Ismail.
Pengerusi Negeri, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata persidangan ini bertujuan memantapkan parti menghadapi cabaran pilihanraya umum akan datang.
Memperbaiki kelemahan, memperkuatkan displin, dan melicinkan gerak-kerja antara tumpuan kertas-kertas kerja yang dibentangkan.
“Konvensyen ini adalah konvensyen yang ditaja dan dibiayai oleh PKR dan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Exco dan Menteri Besar serta ahli majlis dari PKR memberi derma untuk menjayakan konvensyen ini.
“Konvensyen ini berlangsung selama satu hari di mana kepimpinan-kepimpinan negeri dan pusat membentangkan kertas kerja dan juga perbincangan,”katanya yang juga merupakan Menteri Besar Selangor.
Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas perasmian persidangan ini.
Tan Sri Khalid turut berkata cabang-cabang parti akan diberi penerangan susulan mengenai agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor” untuk disampaikan kepada masyarakat.
Mengulas pelantikan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi kepada Kerajaan Negeri, Khalid berkata satu mesyuarat ekonomi membabitkan mantan Menteri Kewangan, dan wakil rakyat Pakatan akan dipanggil pada 14 Disember ini.
“Dalam mesyuarat itu nanti, mereka akan diberi taklimat mengenai usaha yang akan dilakukan bagi memperkuat ekonomi Selangor,”katanya.
Antaranya usaha tersebut adalah program meningkatkan pengeluaran padi di Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Ia bertujuan bagi menaiktaraf pendapatan golongan petani di kawasan terbabit, dan melibatkan 9000 keluarga petani dimana 80 peratus dari mereka adalah keluarga Melayu.
“Kita bentangkan secara terperinci tentang perkara ransangan ekonomi yang telah dibuat dan sudah ada rangka. Selepas itu kita adakan perjumpaan majlis ekonomi yang mana dapat membuat beberapa ketetapan yang akan dilaksanakan pada 2010,”katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan