UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Majlis Peguam mengesyorkan tujuh cara untuk dilaksanakan oleh kerajaan dalam operasi menangkap dan menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) agar lebih sistematik dan memulihara hak asasi golongan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang dan Tugas-Tugas Khasnya, Datuk M. Ramachelvam berkata, antaranya anggota Rela perlu ditemani oleh pegawai Jabatan Imigresen semasa menjalankan operasi, pusat penahanan dikendalikan oleh Jabatan Penjara, PATI yang ditahan dibenarkan menghubungi kenalan dan mereka dibenarkan mendapatkan bantuan guaman.
Syor lain ialah Mahkamah Sesyen Khas ditubuhkan untuk mendengar kes yang melibatkan PATI, pusat misi luar negara membantu warganegara secara proaktif dan kerajaan mengesahkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelarian 1951.
Menurutnya, syor-syor tersebut adalah hasil rundingan meja bulat mengenai penangkapan dan penahanan PATI dengan wakil-wakil beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini.
''Wakil-wakil dari Jabatan Imigresen, Kementerian Luar, Kementerian Pelajaran dan NGO serta pegawai kehakiman berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu di sini hari ini.
Ramachelvam berpendapat, operasi serbuan dan penangkapan PATI perlu dilakukan oleh mereka yang terlatih.
Dalam hal ini, katanya, anggota Rela tidak layak membuat tangkapan bersendirian kerana mereka hanya menerima latihan selama dua minggu serta tidak mampu mengenal pasti keaslian dokumen pengenalan diri pendatang asing.
Beliau seterusnya memberitahu, pihak berkuasa perlu mengiktiraf kad pelarian IM13 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Mengenai Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan tidak menahan pemegang kad tersebut.
''Pelarian sewajarnya dibenarkan bekerja sebelum balik ke negara asal mereka. Selain itu, satu tribunal imigresen perlu diwujudkan untuk menentukan status mereka,'' katanya.
Mengenai cadangan pusat tahanan PATI dikendalikan oleh Jabatan Penjara, beliau menjelaskan, jabatan itu lebih berpengalaman dalam menguruskannya.
''Setiap pusat tahanan juga perlu mempunyai Lembaga Pelawat yang diberi kuasa untuk memeriksa pusat itu tanpa mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Imigresen,'' jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Ramachelvam menyarankan peguam bela dan penterjemah disediakan di mahkamah untuk semua tahanan terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan