Selasa, 2 Disember 2008

Sultan Selangor bekukan pemberian gelaran 'Datuk'

mstar online


SHAH ALAM: Tiada seorang pun ahli politik akan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk pada Hari Keputeraan Sultan Selangor pada 11 Disember ini.

Ini kerana, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah membekukan pemberian gelaran tersebut kepada semua ahli politik pada tahun ini.

“Tiada seorang pun ahli politik kerajaan negeri sekarang ataupun yang terdahulu akan menerimanya (darjah kebesaran).

“Kerajaan negeri yang ada sekarang baru memerintah dalam tempoh lapan bulan. Sedangkan wanita yang mengandung pun mengambil masa selama sembilan bulan,” katanya kepada The Star dalam satu temubual eksklusif di Istana Mestika semalam.

“Saya tahu ada kes yang layak menerima seperti mereka yang berada dalam kerajaan negeri yang baru ini, namun adalah lebih baik kita tunggu dahulu. Biar mereka fokus kepada kerja dahulu, bukan memberi ganjaran atau anugerah. Gelaran tidak semestinya disertai dengan kedudukan,” katanya.

Jelas Tuanku Sharafuddin, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim faham dengan keputusan tersebut selepas Baginda memberi penjelasan mengenai sebab mengapa jumlah pemberian anugerah berkenaan dihadkan.

“Tidak sebarang kuota diperuntukkan untuk Menteri Besar mahupun diri saya sendiri. Kami yakin ia (anugerah) tidak wajar diberikan terlalu banyak untuk mengekalkan martabatnya,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai tindakan negeri-negeri tertentu yang telah yang memberikan gelaran tersebut dengan mudah.

Namun demikian, menurut Baginda jika terlalu banyak gelaran Datuk diberikan, ia akan hanya merendahkan nilai gelaran dan tujuan anugerah tersebut.

Tambah beliau, kerajaan Selangor telah menetapkan sebanyak 40 gelaran Datuk diberikan pada setiap tahun dan Baginda hanya menganugerahkan tidak lebih daripada 30 gelaran tersebut pada satu-satu masa.

Menurut Tuanku lagi, pada 11 Disember ini hanya upacara pengurniaan dan jamuan teh bersama rakyat jelata akan diadakan dan ia tidak disertai dengan sebarang upacara kerajaan rasmi yang lain.

“Beta telah mengarahkan pentadbiran kerajaan negeri supaya mengurangkan kos. Tidak perlu membazir pada perkara yang tidak sepatutnya pada Hari Keputeraan Beta.

“Ini adalah masa yang sesuai untuk berjimat-cermat dan tidak membazirkan wang rakyat,” titah Baginda.

Ditanya mengenai prestasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah dipilih, Sultan Sharafuddin berkata Baginda telah menitahkan pegawai-pegawai istana dan adindanya sendiri untuk memantau prestasi mereka semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung.

“Beta tidak berminat untuk campur tangan dalam politik. Beta cuma ingin tahu dengan lebih dekat bagaimana mereka menjalankan tugas, bukan hanya daripada laporan akhbar semata-mata.

“Adakah mereka tahu apa yang diperkatakan itu dan ada mereka telah membuat ulangkaji mengenai isu yang dibangkitkan? Adakah mereka mengambil bahagian atau mereka hanya duduk mematuhi prosiding dewan tanpa memberi sebarang sumbangan?,” kata Tuanku Sharafuddin.

Jelas Baginda, tindakan tersebut bukan untuk menunding jari kepada mana-mana parti politik. Tidak kisah jika mereka daripada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional.

“Jika mereka berkelakuan tidak baik dan mengabaikan kesopanan, Beta akan menegur mereka kerana Beta mengharapkan mereka mempamerkan standard yang tinggi dan mempamerkan kelakuan yang baik kerana rakyat jelata memerhatikan mereka secara dekat semasa sidang DUN berlangsung,” ujar Tuanku.

Tiada ulasan: