Selasa, 16 Disember 2008

Penerbangan pulang pertama haji terkandas lima jam

UTUSAN ONLINE


SEPANG - Kesesakan teruk di Lapangan Terbang Jeddah, Arab Saudi menjadi punca penerbangan pertama yang membawa pulang 355 jemaah haji Malaysia terkandas lebih lima jam.

Pesawat yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.30 pagi hanya tiba pada pukul 12.25 tengah hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas perkara itu berkata, kesesakan yang berlaku adalah di luar kawalan Lembaga Tabung Haji.

''Kesesakan yang berlaku tidak dapat dielakkan dan kita memohon maaf kepada ahli-ahli keluarga dan sahabat handai jemaah haji kerana ia di luar kawalan pihak Tabung Haji sendiri.

''Bagaimanapun kita menerima kelewatan ini dan menghargai apa yang dilakukan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji dan Kementerian Pengangkutan negara itu yang terpaksa menghadapi kekangan kerana kesesakan pesawat," katanya.

Beliau ditemui pemberita di KLIA di sini selepas menyambut ketibaan para jemaah haji tersebut termasuk Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Seramai 26,000 jemaah haji Malaysia akan mula pulang ke tanah air bermula hari ini sehingga 11 Januari tahun depan.

Menurut Ahmad Zahid, seramai 38 daripada 26,000 jemaah haji Malaysia telah meninggal dunia di tanah suci manakala hanya dua orang tidak dapat menyempurnakan ibadah pada tahun ini kerana masalah kesihatan yang sangat kritikal.

''Kesemua jenazah telah diuruskan di sana dan kita juga doakan semua jemaah haji kita yang lain selamat pulang ke tanah air.

'' Penerbangan hari ini juga turut membawa lima jemaah haji yang sakit tenat dan terus dibawa ke Hospital Selayang dan hospital-hospital lain oleh ahli keluarga mereka," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, jemaah haji Malaysia tahun ini telah membelanjakan RM70.1 juta sehingga semalam bagi segala perbelanjaan mereka di sana.

''Lembaga Tabung Haji mempunyai kemudahan sistem online bagi urusan kemasukan dan pengeluaran wang di sana.

''Kira-kira 150 tan lebihan barang dan bagasi juga telah dihantar lebih awal ke tanah air sebelum jemaah pulang oleh syarikat pengendali bagasi," katanya.

Tiada ulasan: