MSTAR ONLINE
PETALING JAYA: Sekumpulan pemimpin MIC yang 'disingkirkan' sepanjang dua dekad lalu ketika kepimpinan Datuk Seri S. Samy Vellu, mahu menggerakkan kempen peringkat nasional memaksa Presiden itu menjelang Mac depan.
Kumpulan itu dijadual memulakan kempen itu, yang dipercayai kali pertama dalam sejarah MIC, hujung minggu depan.
Bekas anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, K.P. Samy berkata, tujuan utama usaha dari luar MIC itu ialah memberi tekanan berterusan terhadap Samy Vellu, yang mengepalai MIC hampir tiga dekad, melepaskan jawatan Presiden.
"Berdasarkan perlembagaan MIC, tiada siapa yang boleh mencabar Samy Vellu buat masa sekarang. Siapa yang ingin bertanding hanya sia-sia sahaja," kata beliau yang juga bekas Pengerusi MIC Cawangan Shah Alam Bandaraya.
Shah Alam Bandaraya merupakan antara beratus-ratus cawangan yang telah dibatalkan pendaftaran atas pelbagai sebab.
Samy merupakan anggota CWC selama dua penggal, dari 1994 hingga 2000.
Kata beliau, pihaknya akan mengundang seramai yang boleh untuk menyertai kempen tersebut.
"Usaha menyingkirkan ahli-ahli MIC yang tidak sehaluan dengan Samy Vellu telah bermula sejak 1987.
"Selepas pemilihan 1987, 400 cawangan ditutup dan disusuli dengan kira-kira 100 hingga 200 cawangan setiap tahun sejak itu termasuk selepas Datuk S. Subramaniam cabar Samy Vellu pada 1989.
"Sehingga kini lebih 1,500 cawangan telah dibatalkan pendaftaran dan ada pemimpin yang telah disingkirkan," katanya.
Antara pemimpin yang pernah dipecat ialah mendiang Tan Sri M.G. Pandithan yang meninggal dunia awal tahun ini.
Samy Vellu, bekas anggota Kabinet, tewas dalam pilihan raya umum lalu, telah menyatakan kesediaannya mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan awal tahun depan.
Sehingga kini hanya bekas Naib Presiden parti itu, Datuk M. Muthupalaniappan menyatakan kesediaan mencabar Samy Vellu.
Kata Samy Vellu, beliau bersedia berhadapan dengan mana-mana pemimpin yang berhasrat mencabarnya.
Samy Vellu menerajui MIC sejak 1979 sebelum ini telah dijangka akan memenangi jawatan itu tanpa bertanding.
Perlembagaan parti yang menggariskan had pencalonan untuk layak bertanding dipercayai akan memihak kepada beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan