Rabu, 3 September 2008

BPR diminta teliti laporan Ketua Audit
malaysiakini


Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia) meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) meneliti laporan Ketua Audit Negara untuk mengesan gejala rasuah dalam perbelanjaan kementerian, jabatan dan badan berkanun kerajaan.

"Gerak yakin, laporan Ketua Audit Negara sangat membantu BPR dalam mengesan dan menangani gejala rasuah akibat salahguna kuasa dan salahurus dana kerajaan," kata Pengerusinya, Mohd Nazree Mohd Yunus.

Laporan tersebut, katanya, akan menjadi kurang efektif sekiranya laporan secara fizikal itu tidak dimanfaatkan bagi tujuan membasmi rasuah serta salahguna dana kerajaan, jika terbukti berlaku.

"Gerak mencadangkan agar BPR terus merujuk kepada Ketua Audit Negara sekiranya wujud unsur-unsur kecurigaan dalam penggunaan dana kerajaan oleh kementerian dan badan berkanun yang terlibat.

"Perkara ini perlu disiasat dalam usaha kita membasmi penyelewengan dan rasuah," kata Mohd Nazree dalam satu kenyataan.

Gerak, katanya, akan terus menyatakan sokongannya kepada BPR sekiranya badan itu mampu mengambil tindakan terhadap penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam kementerian, badan berkanun dan kerajaan negeri.

"Laporan Ketua Audit Negara amat penting dan sangat membantu menyumbang ke arah pembentukan ketelusan pengurusan akaun dan kewangan negeri yang menepati ciri-ciri urus tadbir yang baik," katanya.

Gerak juga menyokong tindakan BPR yang berjaya memberkas dan mendakwa kes-kes rasuah yang melibatkan pelbagai golongan, termasuk ahli politik pelbagai parti, imigresen, Puspakom dan di sektor korporat.

"Gerak ingin menegaskan bahawa tindakan BPR akan lebih berkesan jika seluruh lapisan masyarakat, termasuk pemimpin pusat dan negeri memberi sokongan terhadap BPR.

"Tambahan pula, BPR telah diberi kuasa pendakwaan. Gerak juga ingin menyatakan bahawa gejala rasuah akan berjaya ditangani dengan kekuatan politik yang mahu melihat pentadbiran negara terus bersih dalam aspek pengurusannya," tambah Mohd Nazree.

Tiada ulasan: