UTK, Komando 69 kawal Permatang Pauh
Malaysiakini
Penambahan bilangan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dan Komando 69 ke kawasan pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh bukan kerana keadaan di sana "panas" dan bahaya tetapi untuk memastikan keselamatan pemimpin dan pengundi menjelang pilihanraya itu Selasa ini.
"Ia hanya untuk langkah berjaga-jaga bagi mengawal keadaan supaya pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.
"Apabila sesuatu perkara yang melibatkan pemimpin, pemantauan yang lebih rapi dari segi keselamatan adalah amat diperlukan," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin kepada Bernama.
Polis dilaporkan akan meningkatkan kekuatan pasukannya kepada 6,000 anggota menjelang hujung minggu ini termasuk mengerahkan UTK dan Komando 69 ke Permatang Pauh.
Bakri berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan perkembangan tersebut.
"Ia bukan perkara luar biasa apabila anggota UTK dan Komando ditempatkan untuk sesuatu pilihanraya.
"Komando bukanlah kita gerakkan ke hulu dan ke hilir sesuka hati, jika kita ada waran baru kita gunakan.
"Jadi orang ramai tidak perlu rasa takut kerana ia bagi memastikan keselamatan adalah terjamin," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan