Tidak perlu saksi khas untuk mubahalah-Mohd Nakhaie
BUKIT MERTAJAM: Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Mohd Nakhaie Ahmad hari ini menegaskan sumpah laknat yang dilafazkan Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah sah dan tidak perlu mana-mana pihak membangkitkan perkara remeh dan teknikal seperti perlu seorang saksi khas.
Katanya kesediaan Mohd Saiful melafazkan sumpah mubahalah itu menunjukkan secara tidak langsung bahawa beliau berada di pihak yang benar dan Mohd Nakhaie berkata pihak yang dituduh juga perlu melakukan perkara yang sama bagi membuktikan dirinya tidak seperti yang didakwa.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh oleh Mohd Saiful telah meliwatnya sehingga kini tetap enggan menyahut cabaran bekas pembantunya itu supaya bersumpah dengan memberi pelbagai alasan termasuk sumpah begitu tidak menepati ajaran Islam.
Mohd Nakhaie berkata kehadiran bapa Mohd Saiful, Azlan Mohd Lazim yang menyaksikan pemuda itu melafazkan sumpah laknat itu sudah memadai.
"Tidak perlu dilantik saksi khas untuk mendengar lafaz sumpah itu kerana di zaman Rasulullah S.A.W, dahulu, baginda membawa ahli keluarganya bersama ketika baginda bermuhabalah, bukan sebagai saksi tetapi untuk membuktikan kebenaran," katanya ketika dihubungi Bernama di Sarawak.
"Baginda tidak pergi bersendirian tetapi membawa bersama orang yang disayangi dan jika sumpah baginda tidak benar, laknat Allah akan menimpa keluarganya juga," katanya.
Mohd Nakhaie berkata ketika Mohd Saiful bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 15 Ogos lepas, upacara itu sendiri disaksikan ramai lagi orang lain termasuk pemberita dan jurugambar.
"Cara Mohd Saiful bersumpah sudah lengkap serta mempunyai tertibnya dan tidak perlulah dipertikaikan perkara-perkara yang remeh yang tidak menjejaskan sumpah itu sama sekali.
"Kehadiran bapanya itu adalah memadai untuk mendengar lafaz sumpahnya itu kerana kalau dia (Mohd Saiful) bersumpah seorang diri, siapa yang tahu. Saya harap tidak perlulah dipertikaikan soal-soal teknikal dalam upacara berkenaan kerana segala syaratnya telah dipatuhi, katanya.
Pada 15 Ogos lalu, Mohd Saiful melakukan sumpah laknat bahawa dirinya telah diliwat oleh bekas majikannya, Anwar dan beliau sanggup mengambil risiko dirinya dan keturunannya dilaknat Allah sehingga hari kiamat.
Pemimpin PKR dalam ceramah politik di Permatang Pauh mempertikaikan kehadiran seorang imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi, pada upacara itu sebagai saksi kononnya atas arahan pihak tertentu dan oleh itu sumpah pemuda itu tidak sah.
Ramlang dalam ceramah politik anjuran PKR meminta beliau tidak dikaitkan dengan majlis sumpah Mohd Saiful kerana kehadiran beliau pada upacara itu adalah secara kebetulan dan beliau berada di masjid untuk urusan pernikahan.
Anwar adalah antara tiga calon yang bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh esok. Dua lagi adalah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim).
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan anggota parlimen kawasan itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatannya pada 31 Julai lepas untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar bertanding di kawasan itu. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan