Sabtu, 30 Ogos 2008

Konsert Avril di KL berlangsung di sebalik bantahan PAS
BERNAMA


KUALA LUMPUR: Konsert Avril Lavigne yang dibantah oleh badan-badan bukan kerajaan dan PAS berlangsung di Stadium Merdeka malam ini.

Bagaimanapun PAS terus mengedarkan lebih 2,000 risalah kepada remaja Islam yang memasuki Stadium Merdeka untuk menyaksikan konsert tersebut.

Menurut Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamarulzaman Mohammad, mereka mengedarkan risalah tentang masalah yang menimpa remaja Islam, jenayah dan sosial.

"Kami juga memberitahu tentang konsep hiburan dalam Islam. Kita mahu mereka menilai semula apa yang dilakukan tidak bertepatan dengan Islam. Niat kami nak beri sentuhan dakwah secara lembut.

"Kami juga mengambil kesempatan ini untuk berbincang dengan mereka. Alhamdulillah, tujuan kami untuk berdakwah tercapai. Cuma kami terkilan dan kecewa sebab kabinet telah meluluskan konsert ini," ujar Kamarulzaman sejurus selesai mengedarkan risalah tersebut.

Turut serta dalam aktiviti tersebut adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan dan beberapa exco Pemuda PAS Pusat.

Kata Kamarulzaman, mereka bertindak untuk berjumpa dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) setelah gagal membatalkan konsert tersebut.

"Kami mahu JAKIM mengawal ketat persembahan artis dari luar negara termasuk di dalam negara. Kami juga mahu pihak berwajib seperti televisyen dan hiburan lain membuat tapisan secara ketat serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh JAKIM," tutur Kamarulzaman lagi.

Terdahulu petang tadi kira-kira 200 orang mahasiswa, anggota badan bukan kerajaan dan parti politik berkumpul di pekarangan Masjid Negara hari ini bagi membantah penganjuran konsert Avril Lavigne.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Mohd Dzulkhairi Mohd selaku jurucakap kumpulan itu berkata, konsert Avril sewajarnya dihentikan bagi mengelakkan pengaruh negatif terhadap golongan remaja lebih-lebih lagi dengan kehadiran bulan Ramadan dan sambutan kemerdekaan negara yang ke-51.

"Sepatutnya sambutan Hari Kemerdekaan perlu bermotifkan semangat cintakan negara, mempertahankan kedaulatan, mengagungkan pejuang kemerdekaan dan seumpamanya yang boleh menaikkan semangat nasionalisme.

"Avril bukanlah seorang role model yang boleh disamakan dengan tokoh-tokoh wanita negara," katanya dalam perhimpunan aman itu yang berlangsung kira-kira 20 minit.

Tiada ulasan: