Khamis, 28 Ogos 2008

MB Negeri Sembilan kata 'pergi mampus'...
Zaili Muhammad


SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad Hasan, mengeluarkan kenyataan yang kurang sopan di dalam persidangan Dun Negeri Sembilan semalam kerana berang dengan tindakan Adun Pakatan Rakyat yang keluar dari dewan sebagai tanda protes.

Persidangan Dun yang bermula jam 10 pagi itu menjadi kecoh apabila Ketua Pembangkang, Loke Siew Fook (DAP-Lobak), menyuarakan rasa tidak puas hati Adun Pakatan Rakyat kepada Speaker Dato' Razak Mansor kerana penggiliran sesi soal jawab ketika perbahasan hanya mengutamakan kepada Adun Barisan Nasional (BN) sahaja.

Adun BN pula akan melengah-lengahkan masa dan membangkitkan soalan yang tiada mempunyai kepentingan langsung terhadap permasalahan rakyat sehingga menyebabkan Adun Pakatan Rakyat tidak berpeluang untuk membangkitkan soalan kerana masa sudah tamat.

Loke mencadangkan supaya diselang-selikan soalan di antara wakil BN dan Pakatan Rakyat supaya ianya adil kepada kedua-dua belah pihak seperti yang diamalkan di Parlimen mahupun di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

Walaubagaimana pun, ianya ditolak oleh Dato' Razak dengan alasan peraturan itu telah dijalankan sejak sekian lama dan memang diamalkan di dalam persidangan Dun Negeri Sembilan, ini menyebabkan 15 Adun Pakatan Rakyat bertindak keluar dari dewan pada pukul 10.30 pagi kerana memboikot persidangan Dun tersebut.

Mohamad Hasan yang jelas berang dengan tindakan itu mengatakan 'pergi mampus' kepada pembangkang sambil diiringi sorakan Adun BN yang lain ketika menggulung perbahasan pada pukul 12.00 tengahari.

"Mereka ingat saya takut, 'pergi mampus' sama mereka, mereka tak ada pun kita boleh bersidang juga lagi senang kita buat kerja," kata beliau dengan nada marah.

Akhirnya persidangan Dun kali ini ditamatkan pada pukul 12.30 tengahari iaitu antara tempoh persidangan Dun yang terpendek sedangkan notis yang diberikan sebelum ini untuk dua hari. - mks. _

Tiada ulasan: