Sabtu, 30 Ogos 2008

Kesan pada rakyat, kerajaan digesa mansuhkan surcaj 30 peratus
M Khaleel Kas


KUALA LUMPUR - Kerajaan didesak untuk memansuhkan surcaj 30 peratus yang dikenakan ke atas harga tiket bas ekspres dan bas henti-henti yang dikuatkuasakan selama sebulan sempena musim perayaan Aidilfitri ini.

Menurut Timbalan Pengerusi,Biro Hal Ehwal Kepenggunaan AMK, Hasmuzair Hassan, kerajaan perlu memansuhkan surcaj 30 peratus yang dikenakan seperti yang diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar pada 28 Ogos lalu.

"AMK mempersoalkan kenapa kadar surcaj ini dikenakan menjelang musim perayaan, sedangkan pada kebiasaannya musim perayaan adalah merupakan 'durian runtuh' kepada pengusaha-pengusaha bas di semua destinasi?

"Tidakkah Noh Omar menyedari bahawa pengguna pengangkutan awam ini terdiri dari rakyat yang berpendapatan rendah yang baru mengalami kesan kenaikan harga barang akibat kenaikan harga petrol dan diesel oleh kerajaan yang dianggotai oleh Noh Omar sendiri?,"soalnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Seterusnya, beliau mencadangkan, agar Noh Omar turun padang meninjau sendiri masalah yang dihadapi rakyat berpendapatan rendah akibat kenaikan harga petrol dan diesel baru-baru ini.

"Surcaj 30 peratus yang dikenakan amat memberi kesan yang besar terhadap golongan ini,"katanya.

Tambahnya, di dalam pengumuman Belanjawan 2009, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengemukakan beberapa insentif baru untuk pengusaha pengangkutan awam.

Antaranya jelasnya, seperti meningkatkan kuota subsidi diesel bagi pengangkutan awam, menyediakan kemudahan pinjaman mudah melalui Dana Pengangkutan Awam tiga bilion ringgit di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk membiayai perolehan aset bas dan rel,mengurangkan bayaran tol sebanyak 50 peratus bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan, iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam, untuk tempoh dua tahun, bermula 15 September 2008.

Selain itu katanya, kerajaan juga memberikan pengecualian cukai jualan ke atas pembelian bas baru yang dipasang dalam negara dan perbelanjaannya diberi elaun Modal Dipercepatkan dan pengurangan cukai jalan kepada 20 ringgit setahun bagi semua bas dan teksi, termasuk kereta sewa pandu dan limousin.

"Malah berkuatkuasa 23 Ogos 2008 lalu, harga runcit petrol RON97 telah dikurangkan sebanyak 15 sen, petrol RON92 dikurangkan sebanyak 22 sen dan harga runcit diesel sebanyak 8 sen seliter.

"Dengan insentif-insentif baru yang diumumkan ini serta penurunan harga petrol dan diesel, AMK percaya ianya cukup untuk menampung kenaikan kos yang ditanggung pengusaha bas,"katanya lagi.

Oleh itu katanya, sekiranya Noh Omar masih merasakan bahawa insentif tersebut masih tidak mencukupi, AMK menyarankan supaya kerajaan menimbang mekanisma lain seperti pengurangan cukai ke atas alat-alat ganti bas, pengecualian pembayaran tol dan sewa terminal, serta pengurangan cukai pendapatan syarikat operator bas.

"AMK bertegas bahawa pengalihan beban kenaikan kos operasi pengusaha bas terbabit secara terus kepada pengguna seharusnya merupakan langkah terakhir yang diambil kerajaan,"tegasnya. - mks. _

Tiada ulasan: