Jumaat, 29 Ogos 2008

Kerajaan Perak teruskan saman malu terhadap BPR
Intan Abdullah


PERMATANG PAUH - Prosedur bagi mengemukakan saman malu berhubung tuduhan serta dakwaan pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan media arus perdana akan diteruskan selepas kedua pihak tersebut enggan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka seperti yang diminta kerajaan negeri Perak.

Menteri Besarnya, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin berkata pihaknya akan meneruskan prosedur untuk saman malu itu dikemukakan kepada pihak yang disebut sebelum ini memandangkan mereka enggan menunaikan apa yang diminta.

"Kita akan teruskannya, kerana ia membabitkan maruah kerajaan negeri Perak sedangkan pertuduhan tersebut masih dalam siasatan," katanya yang ditemui Harakah selepas menyampaikan kuliah maghrib di Surau Taman Sutera, Permatang Pauh.

Pihaknya yang kesal dengan tindakan kedua-dua pihak tersebut juga menjelaskan bahawa kertas pertuduhan mengenai kes tersebut juga tidak menyatakan secara khusus mengenai dakwaan ke atas kedua-dua exco yang terbabit.

"Ianya tidak disebutkan secara jelas dan tepat mengenai kes tersebut ke atas kedua-dua yang dituduh.

"Apapun kami menyerahkan kepada budi bicara pihak mahkamah bagi mengadili kes ini dan saya akan akur kepada keputusannya kelak," katanya lagi.

Pada 19 Ogos lalu, BPR menahan enam orang, termasuk dua Exco Kerajaan Perak kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah berkaitan satu projek perumahan di Seri Iskandar, Perak.

Kedua-duanya adalah Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering), Exco Pelancongan, Modal Insan dan NGO dan Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang) iaitu Exco Pembangunan Usahawan, Pertanian dan Perdagangan.- (tmj) _

Tiada ulasan: