Apabila jentera Pemuda Umno mengamuk...
Mohd Sabri Said
PERMATANG PAUH - Walaupun Pilihan raya Kecil Permatang Pauh sudah enam hari berlalu namun bendera Umno dan Barisan Nasional (BN) masih banyak lagi tidak dibuang.
Senario itu dapat dilihat di merata tempat terutamanya di mana sahaja bekas bilik gerakan parti itu dan di hadapan Pejabat Umno Bahagian di Sungai Semambu, Bukit Mertajam.
Banyak bendera yang digantung merentasi jalan masih berkibar seperti biasa manakala yang jatuh meleret di bawah dan ada yang diterbangkan angin ke dalam longkang di tepi jalan.
Harakahdaily dimaklumkan, semua kejadian itu dikatakan berpunca dari rasa tidak puas hati jentera pemuda Umno kerana tidak memdapat 'habuan' pilihan raya sedangkan peruntukan terlalu banyak dilonggokkan di parlimen itu dulu.
Akibat tidak mendapat habuan tersebut, sekumpulan jentera pemuda Umno mengambil keputusan membaling batu ke arah Pejabat Umno Bahagian Permatang Pauh sehari selepas mengalami kekalahan yang mengaibkan pada 26 Ogos lalu.
Perbuatan itu sekaligus mengakibatkan beberapa keping cermin pejabat berkenaan pecah.
Seorang penduduk, Samad Chik dari Penanti ketika ditemui menyifatkan, tindakan itu membuktikan jentera Umno bagaikan 'hantu raya' yang memakan tuanya sendiri sebab tidak cukup makan.
Bagi Salmah Din pula, mungkin Umno rasa malu setelah bertungkus lumus akhirnya terpaksa akur dengan kematangan penduduk Permatang Pauh.
Zulhasnan Hanafi, 25, mengatakan, sebenarnya jentera pemuda Umno telah hilang sabar kerana di permainkan oleh orang atasan yang mengambil kesempatan menyorok peruntukan untuk kepentingan peribadi.
"Saya tahu wang memang berlonggok diagihkan kepada semua bilik gerakan tapi sayang mereka yang bekerja bermatian-matian tidak mendapat habuan yang mencukupi, " jelasnya yang pernah menjadi jentera Umno dalam pilhan raya umum 2004 lalu. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan