Kerajaan dirayu bayar pencen bulanan bekas anggota keselamatan
BERNAMA
ALOR STAR: Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia merayu kerajaan membayar pencen bulanan RM200 kepada bekas anggota pasukan keselamatan yang berjuang mempertahankan negara sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Timbalan presiden persatuan itu Abdul Aziz Wahab berkata jumlah anggota veteran yang berjuang dalam pelbagai pasukan sebelum merdeka kini tidak melebihi 1,000 orang kerana ramai yang telah meninggal dunia.
"Nasib kami tidak terbela sepenuhnya, ada yang hidup susah dan menderita," katanya selepas menyerahkan bantuan kerusi roda kepada isteri seorang anggota persatuan itu yang lumpuh di sini, hari ini.
Persatuan itu ditubuhkan pada 1955 dianggotai lebih 3,000 orang bekas Konstable Khas (SC), Home Guard, Unit Kawalan Kampung, Askar Wataniah, Tentera British serta bekas tentera dan polis di seluruh negara.
Katanya hadiah RM1,000 yang diberikan kepada anggota pasukan keselamatan sebelum merdeka pada 2002 dan 2003 tidak seberapa kalau dibandingkan dengan keperitan yang ditanggung selama bertahun-tahun berjuang mempertahankan negara.
Abdul Aziz berkata persatuan pernah mengemukakan permohonan pencen itu kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2002 dan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2005 tetapi tidak mendapat jawapan.
Katanya persatuan hanya mampu memberi bantuan bernilai RM200 berupa kain, beras, pakaian dan wang tunai kepada 50 anggotanya pada setiap tahun menyambut Ramadan dan Aidilfitri di samping kerusi roda kepada yang lumpuh.
Pada majlis itu, Puteh Awang, 66, yang lumpuh lebih setahun menerima sumbangan kerusi roda yang disampaikan Abdul Aziz.
Puteh ialah isteri bekas Kons. Khas Mustafa Harun, 75, yang kini hidup dengan bantuan anak-anaknya seramai tujuh orang.
Mustafa yang menyertai SC pada 1953 berkata beliau tidak pernah mendapat bantuan kerajaan kecuali hadiah RM300 semasa berhenti pada 1958 dan cadangan pencen bulanan RM200 kepada anggota keselamatan yang berjuang sebelum merdeka adalah wajar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan