Cabaran menunggu Anwar!
Tarmizi Mohd Jam
KEMENANGAN Anwar Ibrahim sudah diduga. Lautan manusia yang mendokongnya pada hari penamaan calon memberi signal jelas, langkah mantan TPM itu melakar sejarah baru, kian terbentang.
Anwar membina majoriti 15,671 undi, jauh lebih tegar berbanding penyandang sebelumnya, Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 13,398 undi ketika membenamkan calon BN Datuk Pirdaus Ismail pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Anwar, 61, memperolehi 31,195 undi sementara calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, mendapat 15,524 undi - kurang 147 undi dari majoriti yang menyarati Anwar.
Manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat, 61, hilang wang pertaruhan setelah hanya mendapat 92 undi.
Seramai 81.1 peratus daripada 58,49 pengundi di Parlimen Permatang Pauh keluar mengundi. Sebanyak 447 undi rosak.
Walaupun berdepan kemungkinan 'dilarang' mengangkat sumpah secara rasmi sebagai ahli parlimen, namun Anwar bertekad ke Parlimen esok (27 Ogos) selepas memenangi kerusi Permatang Pauh malam ini (26 Ogos).
"Insya Allah, seandainya diizinkan dan jika tiada aral, saya akan melangkah masuk ke Parlimen seawal hari esok dengan menggalas harapan rakyat keseluruhannya," katanya pada blognya sewaktu menunggu keputusan rasmi pilihanraya kecil tersebut.
Sebaik diumumkan kemenangan, Anwar sebenarnya sudah disarati dengan dua cabaran baru selain tuduhan 'liwat' yang masih melekat. Kempen-kempen 10 hari yang cukup memualkan, hampir 'merebahkan' Anwar. Dihempap pula permainan ganas media yang berat sebelah.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, awal-awal lagi bertegas "Tiada keperluan untuk Anwar mengangkat sumpah dengan segera. Bukannya ada perebutan kuasa. Seseorang yang menang dalam pilihanraya tidak semestinya mengangkat sumpah jawatan anggota Dewan Rakyat dalam minggu ini juga."
Terdapat kemungkinan dan kebimbangan, Perdana Menteri enggan berdepan dan bertentangan mata dengan Anwar sewaktu pembentangan Bajet 2009, Jumaat ini (29 Ogos). Ini bermakna, Dewan Rakyat yang sedang bersidang, juga sedang 'mengnyahkan' hero baru rakyat ke Parlimen.
Pandikar Amin berkata, beliau akan menunggu notis rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu sebelum menetapkan tarikh dengan persetujuan wakil rakyat Permatang Pauh yang terpilih nanti untuk acara mengangkat sumpah.
Pada masa yang sama, tindakan secepat kilat BPR yang akan memanggil Datuk S. Nallakaruppan untuk memberi penjelasan mengenai dakwaannya bahawa Anwar menerima RM60 juta daripada Magnum Corporation, semasa beliau (Nallakaruppan) ketika itu adalah pengarahnya - juga satu lagi perangkap untuk menghambat beliau mara ke Putrajaya.
Timbalan Ketua Pengarah I BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata Nallakaruppan, yang pernah bersahabat baik dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat itu akan dipanggil secepat mungkin memandangkan dakwaannya itu amat serius.
Belum sampai 24 jam, Anwar kelihatan tersangkut segala macam cabaran pahit untuk menduganya lagi.- (tmj)_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan