NGO Islam akan demonstrasi jika Konsert Avril diadakan
Irwan Muhammad Zain
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) bersama Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Bukit Bintang membantah keras konsert Avril Lavigne yang mendapat kelulusan Kabinet baru-baru ini.
Konsert penyanyi muda kelahiran Kanada itu yang dijadualkan diadakan Jumaat ini tidak sesuai diadakan kerana ia tidak menghormati kedatangan Ramadan yang akan bermula awal bulan depan.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengerusi Perkid, Ustaz Masridzi Sat berkata segala usaha dakwah dan cegah maksiat yang dijalankan oleh Perkid tidak akan berjaya jika kerajaan dan pihak berkuasa terus menganjurkan konsert sebegini.
Beliau menegaskan usaha Perkid akan menjadi sia-sia seumpama satu pihak membaja manakala satu pihak lagi menyiram racun.
Sehubungan dengan itu, Perkid, Pekida Bukit Bintang dan NGO-NGO Islam yang lain akan bergabung secara besar-besaran membantah konsert tersebut.
"Jika perlu kita mengadakan demontrasi aman kita akan lakukan jika kerajaan tetap meneruskan konsert ini," kata beliau.
Beliau juga menyifatkan penganjuran konsert berkenaan sebagai membazir dan melalaikan anak muda dari menghayati erti kemerdekaan sebenar dan penghinaan kepada sambutan awal Ramadan yang merupakan bulan tarbiyah untuk umat Islam di negara ini.
Sementara itu, Pengerusi Pekida Bukit Bintang, Roslan Dahaman turut melahirkan kekesalan kerana sambutan awal Ramadan di buat secara bersuka ria dengan program artis barat yang tidak bersesuaian dengan budaya Islam.
"Remaja adan anak muda Islam semakin musnah moral dan akhlak mereka jadi sekiranya konsert itu diteruskan tentunya anak-anak muda kita tidak akan merdeka dan akan terus dijajah dengan pemikiran dan budaya barat," jelas Roslan.
Justeru itu, beliau memberikan komitmen bahawa ahli-ahli Pekida Bukit Bintang akan membantah konsert yang melalaikan dan menghina umat Islam negara ini dan akan turun padang berdakwah dengan anak-anak muda di malam sambutan Merdeka bersama Perkid dan NGO-NGO Islam yang lain.
Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada awalnya dilaporkan menimbangkan untuk menangguhkan konsert itu ke satu tarikh lain yang bersesuaian dengan alasan tidak sesuai dengan sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos dan membawa nilai buruk kepada akhlak rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, kerajaan membenarkan semula konsert setelah menetapkan prasyarat dan peraturan kepada penganjur agar ia tidak menjejaskan budaya dan penerapan nilai yang tidak baik di kalangan anak-anak muda khususnya dalam bulan kemerdekaan ini. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan