Pakej lebuh raya Kajang-Seremban tanpa tol sehingga 4 Oktober depan
KAJANG: Pengguna lebuh raya boleh menggunakan pakej 1 Lebuhraya Kajang-Seremban dari Kajang Selatan ke Pajam sejauh 18.2km secara percuma bermula semalam sehingga 4 Okt depan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed .
Beliau berkata ini kerana syarikat pemegang konsesi lebuh raya itu Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAs) belum menetapkan kadar tol bagi pakej tersebut dan ini bermakna pengguna boleh menggunakannya secara percuma ketika sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Berucap ketika merasmikan pakej 1 itu di sini, Mohd Zin memuji LEKAS kerana berjaya menyiapkan pakej berkenaan
Pakej 1 menelan belanja RM380 juta manakala keseluruhan lebuh raya sepanjang 44.3 km itu menelan belanja RM1.75 bilion.
Laluan Pakej 1 dibahagikan kepada dua iaitu pakej 1A sepanjang 1.44km dari Kajang ke Jalan Semenyih dan 1B sepanjang 16.76km dari Jalan Semenyih hingga ke Bandar Pajam.
"Pakej 2 dan pakej 3 kini sedang dalam pembinaan dan di jangka siap sepenuhnya pada 2010," katanya.
Pakej 2 adalah sepanjang 14.5km bermula dari Persimpangan Bertingkat Pajam hingga ke Persimpangan Bertingkat Setul, manakala Pakej 3 pula bermula dari Persimpangan
Bertingkat Setul hingga ke pertemuan dengan jalan Seremban-Kuala Pilah di Paroi.
Setakat ini sebanyak 23 lebuh raya sepanjang 1,502 km sedang beroperasi di negara ini dengan kos pembinaan kirakira RM20.74 bilion. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan