Zuwairi Zakwa
PARLIMEN – Tepat jam 9.51 pagi, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim dilihat masuk ke dalam Dewan Rakyat dengan berpakaian baju Melayu serba hitam lengkap dan bersongkok diiringi isteri beliau, Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden KeADILan serta beberapa pimpinan utama dan MP Pakatan Rakyat.
Ketibaan Anwar di dalam Dewan Rakyat disambut meriah seluruh MP Pakatan Rakyat yang hadir sambil bersalaman dengan pemimpin itu. Sambil bersalaman Anwar turut bersama mesra dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang juga merupakan Ahli Parlimen.
Antaranya yang turut kelihatan adalah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta beberapa pemimpin yang lain.
Setelah bacaan doa, Anwar yang telahpun berdiri di tengah dewan dengan tenang dan penuh keyakinan membacakan sumpah di hadapan Speaker Dewan, Pandikar Amin Mulia.
Speaker kemudian melakukan upacara pemahsyuran Anwar sebagai MP Permatang Pauh yang baru seterusnya memahsyurkan mantan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai Ketua Pembangkang mengikut Peraturan Mesyuarat 4 (a) 3.
Lantaran pemahsyuran itu, dewan sedikit gamat dengan tepukan meja yang bergemuruh daripada kalangan MP Pakatan Rakyat yang menyaksikan upacara yang penuh bersejarah itu.
Suasana sekali lagi menjadi gamat dengan tepukan apabila Ahli Parlimen BN, Sepanggar, Eric Enchin Majimbun dan begitu juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz kedua-duanya mengucapkan ucapan tahniah kepada Anwar sebelum sesi soal jawab lisan.
Terdahulu sebelum itu, suasana dalam dewan hari ini telah dipenuhi lebih ramai tetamu dan ahli media seawal jam 9.30 pagi bagi mengikuti upacara mengangkat sumpah yang penuh bersejarah itu.
Walaubagaimanapun, suasana agar hambar di tempat duduk ahli Parlimen BN apabila tidak ramai yang hadir pada sesi pagi yang dipercayai
Anwar yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen kerusi yang sama telah menduduki kerusi itu sejak 1982 sebelum dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998.
Lantaran tuduhan yang dikenakan terhadap beliau, Anwar dinafikan hak politiknya selama 10 tahun dan kerusi Permatang Pauh kemudiannya disandang isteri beliau, Wan Azizah setelah memenangi kerusi itu selama 3 penggal berturut-turut sejak 1999. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan