Isnin, 25 Ogos 2008

Khairy pembohong! - Hu Pang Chow
Izwan Abdul Halim


SUNGAI LALANG - Dakwaan Naib Ketua Pemuda Umno yang juga menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin bahawa PAS telah menolak sama sekali Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) serta tidak membantu kempen di Permatang Pauh dinafikan oleh Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chow.

Ujar Hu, Khairy bercakap bohong dengan mengemukakan pelbagai alasan terhadap dakwaannya itu semasa berceramah di Bilik Gerakan Umno malam kelmarin.

"Saya ingin berpesan, kalau cakap bohong, menurut kepercayaan orang Cina, bila mati nanti turun ke neraka, lidah akan dipotong. Jadi tolong sampaikan kepada orang Umno, sebagai orang Islam hendaklah jadi manusia yang beriman dan bertakwa, jangan sekali-kali cakap bohong.

"Kita kena ingat, cakap bohong ini kena jawab sampai ke akhirat. Tak dapat jawab dengan baik (penghakiman di akhirat), nanti kena masuk neraka selama-lamanya," katanya pada ceramah sempena Expo Perpaduan Rakyat 2008 (EXPRA 08) di Taman Bandar Baru (TBB), di sini malam semalam.

Dalam ceramahnya itu, Hu turut mendakwa wujud kempen menggunakan wang pada pilihan raya kecil tersebut.

"Saya difahamkan, orang MIC dan MCA mula edar wang di Permatang Pauh. Kata mereka, jika majoriti DSAI dapat dikurangkan bawah 10,000, pengundi di Permatang Pauh akan terima RM200 lepas pilihan raya kecil ini.

"Dengan menerima RM200 dan menyebabkan Umno terus berkuasa serta melakukan pelbagai penyelewengan, maka ia juga merupakan satu dosa. Tetapi jika mereka beri RM200 tanpa syarat, ambil sahaja dan anggaplah ia rezeki kita. Lagipun duit itu memang Umno 'curi' dari poket kita.

"Kalau tidak percaya pergi tanya menantu Perdana Menteri yang baru berumur 30-an itu, macam mana boleh jadi jutawan? Kita kerja berpuluh-puluh tahun mahu kumpul RM10,000 pun susah. Oleh itu kita jangan biarkan lagi mereka curi duit kita," ujarnya menyebabkan hadirin ketawa. - mr _

Tiada ulasan: