Jumaat, 29 Ogos 2008

Apa guna Merdeka jika rakyat kita masih menjadi tebusan?
Roslan SMS


Dalam pada kita sibuk dengan tugasan harian masing-masing saya rasa tumpuan negara harus diberikan kepada kejadian menawan kapal tangki minyak MT Bunga Melati Dua milik MISC Berhad di Teluk Aden berhampiran Somalia kira-kira seminggu lepas oleh lanun-lanun yang tidak dikenali. Terdapat 39 anak kapal di atas kapal milik Malaysia itu iaitu 29 warga Malaysia dan 10 Filipina.

Menurut pihak MISC MT Bunga Melati Dua yang boleh membawa muatan 32,025 tan itu membawa minyak sawit dari Malaysia sebelum ditawan oleh lanun-lanun bersenjata di luar pantai Somalia Selasa lepas kira-kira jam 10 malam waktu tempatan.

TPM Najib Tun Razak dalam akhbar tempatan hari ini menytakan kesemua 39 anak kapal tersebut selamat dan rundingan sedang dijanalnkan untuk membebaskan mereka.

Saya yakin semua kita bersimpati dengan mangsa dan keluarga mereka dan mendoakan agar mereka semua khasnya mangsa tidak diapa-apakan dan akan selamat kembali kepangkuan keluarga masing-masing secepat mungkin.

Saya berharap agar pihak kerajaan lebih telus dan terbuka akan perkembangan yang sedang berlaku. “Updates” dari masa kesemasa perlu diberikan untuk mengurangkan kegusaran dan kebimbangan rakyat khasnya kaum keluarga dan kawan serta kenalan mangsa. Mengapa tidak dikeluarkan senarai nama mereka yang menjadi mangsa, sehingga kini cuma keluarga terdekat sahaja yang ketahui.

Apakah opsyen menggempur kapal tersebut untuk menyelamatkan tebusan tidak dipertimbangkan. Mengapa tidak kita hantar kapal dan pesawat tentera kita ke sana untuk emmantau keadaan, kita tahu bumi Somalia kini bergolak, lantas kekuatan kita perlu ada di sana untuk memimpin suasana.

Jangan pandang remeh dan kecil perkara ini kerana ia melibatkan maruah negara dan keselamatan rakyatnya. Kita mahu jika boleh PM sendiri atau wakil peribadinya terlibat dalam rundingan bagi mencerminkan seriusnya kerajaan dalam menangani isu ini dan membela rakyatnya. Bertindaklah, apa guna kita megah merayakan Merdeka jika rakyat warganegara kita sendiri menjadi tebusan di negara lain!

Tiada ulasan: