Isnin, 25 Ogos 2008

Permatang Pauh: SPR terima 70 aduan, suasana bebas ketegangan
Oleh G. MANIMARAN


PERMATANG PAUH: Persekitaran kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh tegang sebagaimana diramalkan? Tidak, kata dua badan pemerhati pilihan raya tempatan, Institut Kebangsaan Bagi Integriti Pilihan Raya (NIEI) dan MAFREL.

Mengambil kira keadaan setakat ini yang agak tenang - bertentangan dengan yang disangkakan sebelum ini, kedua-dua badan itu menjangkakan persekitaran yang sama akan dirasai menjelang hari pengundian Selasa ini.

Bagaimanapun Pemangku Presiden MAFREL, Syed Ibrahim Syed Noh tidak menolak jika keadaan berubah kelak.

"Sehingga kini (malam tadi) keadaan nampak tenang, tidak membimbangkan seperti yang dijangka. Tetapi biasanya keadaan menjadi tegang malam menjelang hari pengundian dan juga pada hari pengundian," kata beliau ketika dihubungi.

Beliau juga mengakui berbanding suasana di Ijok, Selangor awal tahun lalu, keadaan di Permatang Pauh adalah lebih baik.

Syed Ibrahim juga berkata, pihaknya ada mendengar mengenai penipuan yang dikaitkan dengan senarai pemilih seperti nama pemilih tercicir atau dipindahkan tanpa pengetahuan pemilih.

Bagaimanapun kata beliau, perkara tersebut belum dibuktikan sehingga kini.

"Memang kami ada mendengar cakap-cakap mengenainya dan desas-desus tetapi belum ada bukti mengenainya," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif NIEI, Amin Shah Iskandar juga memberikan pandangan sedemikian."

"Secara umum pilihan raya kecil ini berjalan dengan aman, penyokong kedua-dua pihak sudah matang, dan tahu batasan berkempen," katanya.

"Kami melihat orang makan macam biasa sahaja, orang pergi ke kedai macam biasa sahaja, tiada apa-apa keadaan yang membimbangkan," katanya yang turut
membandingkan dengan keadaan di Ijok.

Wakil NIEI dan MAFREL memantau perjalanan pilihan raya kecil Permatang Pauh sejak hari penamaan calon lagi.

"Tiada kes-kes yang besar melibatkan kejadian pukul melainkan ejekan kecil-kecilan di sana sini".

"Berdasarkan hasil penemuan kami, sama ada ada berlaku suasana tegang, kami kata tidak. Tidak tegang sangat," katanya.

Bagaimanapun kata beliau, kehadiran anggota polis pada jumlah yang banyak ada menimbulkan sedikit kerisauan di kalangan penduduk tempatan.

Kehadiran polis pada jumlah yang banyak tidak perlu, kata beliau dengan merujuk kepada kehadiran kira-kira 6,000 anggota setakat ini.

Beliau juga tidak menolak keadaan parti-parti politik yang bertanding ada menimbulkan sentimen perkaunan ketika berkempen.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya telah menerima kira-kira 70 aduan, yang dipanjangkan oleh pihak polis sehingga semalam.

Bagaimanapun beliau juga mengakui bahawa persekitaran berkempen bebas daripada ketegangan walaupun suasana tegang telah dijangkakan sebelum ini.

"Ini disebabkan langkah kawalan keselamatan yang diambil oleh pihak polis dan kerjasama yang ditunjukkan oleh parti-parti politik yang bertanding," katanya.

Tiada ulasan: