Sabtu, 30 Ogos 2008

Mesej Kemerdekaan, Anwar dakwa Perlembagaan diperlekeh
Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Dalam perutusan kemerdekaan, yang dikeluarkan tiga hari selepas mengangkat sumpah semula sebagai anggota Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, "perlembagaan diperlekehkan, demokrasi diinjak dan institusi kenegaraan dijadikan alat penguasa."

"Namun genap 51 tahun merdeka kita sekali lagi berada di persimpangan.

"Kita melihat perlembagaan diperlekehkan, demokrasi diinjak dan institusi kenegaraan dijadikan alat penguasa.

"Sudah tiba masanya kita rakyat Malaysia membuat pilihan untuk menemukan kembali erti kemerdekaan negara ini," kata beliau dalam blognya hari ini.

Anwar yang menggunakan tema "Merdeka" ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh berkata, adalah menjadi tanggungjawab rakyat sekarang untuk memastikan demokrasi bernafas semula di negara ini manakala keluhuran perlembagaan kembali dijunjung dan kedaulatan undang-undang terbina kukuh.

"Marilah kita perbaharui persetujuan yang kita buat bersama 51 tahun dahulu; memastikan negara Malaysia ini kekal bebas dan merdeka," katanya yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Tambah sejak 31 Ogos 1957, rakyat Malaysia telah lalui bersama saat-saat sukar dan detik kejayaan.

"Kita menaruh harapan untuk melihat Malaysia yang adil, makmur dan perkasa," katanya.

"Selama 51 tahun lalu rakyat negara ini telah membuat pilihan untuk berdiri sendiri, bebas dari pemerintahan penjajah, bersetuju bahawa negara ini ialah negara hukum yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

"Rakyat Malaysia membuktikan mereka berani untuk memilih dan membuat keputusan. Memilih yang terbaik buat Malaysia," kata beliau dan menambah, namun genap 51 tahun merdeka rakyat sekali lagi berada di persimpangan.

"Marilah kita perbaharui persetujuan yang kita buat bersama 51 tahun dahulu; memastikan negara Malaysia ini kekal bebas dan merdeka," katanya

Tiada ulasan: