Isnin, 29 Julai 2019

Raja dadah ditahan, 70kg dadah lebih RM6 juta dirampas

Mohd Khalil Kader Mohd (berdiri, kanan) melihat sebahagian 
suspek yang ditahan dalam beberapa operasi di sekitar Lembah 
Klang dan Johor minggu lalu, selepas mengadakan sidang 
media di Balai Polis Semenyih hari ini. (Gambar Bernama)
 
SEMENYIH: Seorang raja dadah antara 18 anggota sindiket dadah ditahan dalam beberapa serbuan polis di sekitar Lembah Klang dan Johor pada Jumaat serta Sabtu lalu bersama rampasan lebih 70kg dadah pelbagai jenis yang dianggarkan melebihi RM6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohd Khalil Kader Mohd berkata dalam kes pertama, 5 suspek ditahan dalam 5 serbuan di sekitar Lembah Klang dan Johor antara 5.10 petang hingga 6.20 petang.

Beliau berkata, antara suspek ditahan dalam serbuan membabitkan anggota JSJN Bukit Aman itu adalah raja dadah berkenaan.

“Mereka ini berusia 32 hingga 48 tahun dan seorang daripada mereka positif dadah. Menerusi 5 serbuan itu, pelbagai jenis dadah dirampas termasuk syabu seberat 64.5kg, ketamin seberat 2.7kg dan 77,500 pil ecstasy yang keseluruhan bernilai RM5.8 juta,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas 5 kenderaan mewah, pelbagai mata wang dan barang kemas bernilai lebih RM400,000 dalam sebuan itu.

Bagi kes ke-2, Khalil berkata, polis membongkar sebuah makmal memproses dadah disyaki ketamin di Melaka yang membawa kepada 4 lagi serbuan di Kuala Lumpur.

“Kami menahan 13 ahli sindiket warga tempatan berusia antara 19 dan 51 tahun yang terdiri daripada 8 lelaki dan 5 wanita. Tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah, manakala 9 lagi didapati positif dadah.

“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah, termasuk ketamin seberat 13.4kg, 57 pil ecstasy dan syabu seberat 592g dengan nilai keseluruhan RM836,000.”

Beliau berkata, polis turut menyita 7 kenderaan, 3 jam tangan berjenama, wang tunai RM3,200 dan pelbagai jenis barang kemas serta barang elektronik bernilai RM320,000.

Tiada ulasan: