Jumaat, 21 September 2018

Tiada jentera kerajaan bagi kempend di PD – Anwar

THE MALAYSIAN TIMES
 


PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada kemudahan atau jentera kerajaan yang akan digunakan sepanjang kempen beliau pada PRK itu.

Ketua Umum PKR itu berkata keputusan itu penting untuk memberi isyarat kepada rakyat bahawa PH bertanding dalam PRK itu secara bersih dan telus.

“Kami ada timbalan perdana menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), menteri hal ehwal ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (Datuk Saifuddin Nasution Ismail), beberapa menteri dan timbalan menteri dalam parti kami dan saya telah nyatakan dengan jelas bahawa saya tidak mahu sebarang kemudahan atau jentera kerajaan digunakan dalam pilihan raya kecil ini.

“Sebenarnya, saya dimaklumkan oleh Saifuddin bahawa terdapat satu program yang dirancang sebelum ini oleh kementeriannya dan jatuh pada tempoh berkempen.

“Bagaimanapun mereka membuat keputusan untuk menangguhkan program itu kerana kami tidak mahu dilihat sebagai menggunakan kemudahan kerajaan untuk berkempen dan ini adalah isyarat yang penting kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Anwar hari ini diumumkan secara rasmi sebagai calon untuk pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 13 Okt depan.

Pengumuman dibuat oleh presiden PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media sama yang turut disertai pimpinan tertinggi parti termasuk dua calon timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Menjelaskan lebih lanjut tentang PRK itu, Anwar berkata PH tidak akan mengambil mudah PRK itu sungguhpun banyak pihak yang beranggapan Parlimen Port Dickson adalah kubu kuat PKR.

“Kami perlu merayu kepada pengundi, kami mesti perjelaskan kedudukan kami, kami mesti dapatkan sokongan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai sokongan anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz terhadapnya bagi pilihan raya itu, Anwar berkata beliau menghargainya.

Katanya, sebagai calon beliau tidak mahu dilihat angkuh dengan menolak sokongan mana-mana pihak termasuk daripada parti pembangkang.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Port Dickson diadakan pada 13 Okt, manakala hari penamaan calon pada 29 Sept dan hari mengundi awal pula pada 9 Okt.

PRK itu diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.– Bernama

Tiada ulasan: