Isnin, 23 Januari 2017

Tiada kerjasama politik jika PPBM sertai PH - PAS

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu nekad menyertai Pakatan Harapan (PH).
 
Demikian penegasan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad mengulas kenyataan Dr Mahathir pada dua hari lalu yang memberitahu partinya akan menjadi ahli komponen penuh PH.
 
Pengerusi PPBM itu berkata tindakan berkenaan akan diambil sekiranya PAS berterusan enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
 
"Dengan komen daripada Dr Mahathir untuk bersama dengan PH, mungkin agak menyukarkan PAS untuk bersama-sama dalam PH. Sebab kita sudah tekankan kita tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah. 
 
"Jadi, jika PPBM bersama-sama mereka (PH) bermakna mungkin kita tidak akan bersama mereka. Mereka (PPBM) pun tahu, jika mahu bersama PAS mereka tidak bersama (bekerjasama) DAP dan Amanah," ujar Mahfodz kepada Antarapos.
 
Sebagaimana pimpinan PAS yang lain, Mahfodz juga memaklumkan tiada kata sepakat lagi diambil partinya dalam soal kerjasama dengan PPBM.
 
Sebaliknya mereka mengambil pendirian tunggu dan lihat berhubung perkembangan semasa yang membabitkan sikap 'parti bunga raya' itu.
 
Dr Mahathir pada kelmarin memberitahu PPBM kini sudah mempunyai keputusan bersabit kemungkinan parti itu menyertai PH secara rasmi, dan bukannya sekadar menjalin kerjasama politik.
 
PAS sebelum ini berkali-kali menyatakan pendirian untuk tidak menjalinkan kerjasama politik dengan DAP dan parti serpihannya Amanah.
 
Bagaimanapun perkara itu menurut Dr Mahathir, menyukarkan penggabungan lima parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dalam usaha menumbangkan Umno Barisan Nasional (BN).
 
Dalam pada itu ketika ditanya huluran salam DAP kepada PAS untuk bekerjasama menangani kleptokrasi, ujar Mahfodz, parti dominasi Cina itu perlu memberi jaminan bahawa dasar PAS tidak akan diusik.   
 
Beliau bagaimanapun gusar dengan niat sebenar DAP itu, sambil menambah PAS pernah melalui sejarah hitam bersama DAP, merujuk kepada tentangan parti itu bersabit hasrat PAS memperjuangkan hukum hudud. 
 
"Sesiapa pun yang hendak (kerjasama) dengan PAS, maka dasar Islam PAS jangan diganggu-gugat. Dahulu kita dah kena dengan DAP, jadi walaupun mereka menghulurkan tangan (salam), tapi PAS tetap teruskan dasar Islam itu. 
 
"Dalam kenyataannya (Kit Siang) pun tidak sebut tentang dasar PAS. Ia sebut tentang selamatkan Malaysia. Saya pun 'berat' lah jika mereka tidak jelaskan sikap mereka tentang perjuangan PAS yang mahu mengetengahkan Islam," tegas Mahfodz.
 
Kit Siang pada hari ini menegaskan salam perdamaian yang dihulur kepada PAS bukan berpura-pura dengan menambah keutamaan pada masa kini bukanlah perbezaan pendapat sebaliknya misi menyelamatkan Malaysia daripada masalah kleptokrasi. 
 
 

Tiada ulasan: