Sabtu, 14 Januari 2017

Sekolah agama rakyat agen perubahan masyarakat, bukan pemecah belah





 
Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR


Tanah air ini telah mengalami transformasi pendidikan yang sangat pantas dan rencam semenjak satu abad ini. Pendidikan Islam yang diterima oleh orang  Melayu sebelum daripada zaman kolonial berupaya membuka dimensi berfikir Orang Melayu, sama ada sekolah pondok atau pun sekolah agama rakyat.

 Kedatangan British pada penghujung abad ke-19 seterusnya menjadikan pendidikan semakin rencam dengan pengenalan sekolah Inggeris, sekolah Melayu, sekolah Tamil dan Sekolah Cina. Sekolah vernakular yang berakar di zaman kolonial akhirnya kekal berlangsung sehingga sekarang sehingga menimbulkan pemisahan kaum dan kelompok serta menebalkan perasaan etnosentrism.

Sekolah agama rakyat pula di zaman penjajah British menjadi benteng pemelihara aqidah dan pusat penentangan terhadap penjajah seperti Maahad Ehya as Sharif. Sekolah agama rakyat bukan sekadar melahirkan pelajar yang celik ilmu deeniyah tetapi celik politik dan mengimbangi kebimbangan akan pupusnya ulama yang menjadi kelompok autoriti dalam strata sosial masyarakat Melayu.

Sekolah agama rakyat adalah komponen sekolah-sekolah diniyyah yang diuruskan oleh orang ramai. Pada mula penubuhannya diinisiatifkan oleh tuan guru atau kiai (lebai) di sesuatu daerah. Ada juga yang diinisiatifkan oleh kelompok individu tertentu sebagai usaha memperjuangkan agama Islam. Sehingga hari ini sekolah-sekolah berkenaan diuruskan oleh yayasan yang ditubuhkan oleh mereka atau diuruskan oleh jawatankuasa tertentu bagi pihak masyarakat atau masih kekal di bawah pimpinan individu atau waris pengasasnya. Dari segi pembiayaan biasanya bergantung kepada sokongan rakyat, bantuan zakat ataupun yuran pelajar yang diambil secara minimum. Sekolah ini berdaftar di bawah pejabat agama negeri dan ada juga yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan. (Abu Bakar Chik: 2010)

Sekolah agama rakyat ialah sekolah agama yang tidak mendapat bantuan kerajaan dan ianya didirikan dengan sokongan masyarakat. Masyarakat menubuhkan dengan cara menderma bahkan turut membantu membina bangunan.

PAS semenjak awal lagi menubuhkan sekolah agama rakyat melalui pendukung-pendukungnya di seluruh negara termasuk di sabah terlibat dalam usaha membina sekolah agama rakyat. Sekolah agama rakyat di negara ini muncul akibat kesungguhan graduan pendidikan Islam dan juga sokongan masyarakat yang merasakan kepentingan pendidikan Islam anak-anak mereka.

Antara faktor berlakunya kesinambungan untuk menggerakkan instutisi pendidikan Islam seperti sekolah agama rakyat ialah pulangnya pelajar Timur Tengah seperti graduan al-Azhar. Penuntut al-Azhar yang aktif dengan PMRAM diajar tentang berorganisasi dan mereka lebih berdikari dan tidak bergantung kepada kerajaan.

Kebangkitan Islam di Mesir yang digerakkan oleh Ikhwanul Muslimin juga turut mempengaruhi pemikiran pelajar al-Azhar termasuk cara belajar ‘talaqi’ di Mesir juga menanam kecintaan kepada pendidikan Islam. Mereka ini kemudiannya dikesan ramai terlibat dalam menggerakkan sekolah agama rakyat di negara ini termasuk menggerakkan institusi pendidikan di bawah PAS.

Pada asalnya PAS tidak menubuhkan secara langsung sekolah agama rakyat tetapi ianya ditubuhkan oleh ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat. Ini berkemungkinan kerana PAS memberikan kebebasan kepada ahlinya untuk mewujudkan sekolah sendiri untuk mengelakkan karenah birokrasi dan memfokuskan kepada aktiviti politik parti berkenaan. Namun selepas kebangkitan semula Islam yang berlaku dalam dekad 70-an dan 80-an, PAS mula menunjukkan kecenderungan untuk menubuhkan sebanyak mungkin sekolah agama rakyat dan menghidupkan kembali sekolah agama rakyat yang tidak bermaya sebelumnya.

SAR yang ditubuhkan oleh PAS tumbuh merata di seluruh negara termasuk di Sabah, ianya mendapat sokongan daripada ahli dan masyarakat.

Tiada ulasan: