Pemimpin paling tinggi dalam Pas, Hashim Jasin sekali lagi menegas, mereka tidak akan sekali-kali bersama dengan mana-mana parti yang menegakkan dasar liberal dan sekular.
"Mana mungkin Pas akan menegakkan dasar liberal atau bersama dengan dasar sekular yang dianut oleh parti-parti lain, sedangkan dasar Pas ialah Islam," Hashim dalam satu tulisannya yang terbaru sebagaimana disiarkan Harakahdaily.
Bagi beliau, kemenangan yang disasarkan jika sekadar memenangi pilihan raya, ia adalah satu kefahaman yang sangat dangkal bagi ahli-ahli politik walau dari parti mana sekali pun mereka.
"Pilihan raya hanyalah alat untuk mencapai matlamat, ia bukan tujuan. Bukankah setiap daripada parti politik itu ditubuhkan dengan tujuan, dan mahu menjadikan keyakinan mereka terhadap ideologinya sebagai sesuatu yang diterjemahkan?
"Tidak ada parti yang meletakkan sasarannya hanya untuk menang pilihan raya.
"Begitu juga PAS! Mencapai kemenangan yang dihitung semata-mata dengan memenangi pilihan raya ertinya matlamat perjuangan kita sangat singkat dan terhenti di pelabuhan dunia.
"Kita tidak akan mencapai apa-apa kejayaan atau kemenangan sekiranya kita tidak dapat melaksanakan dasar dan tujuan sebenar kewujudan parti kita, apatah lagi tujuan penciptaan kita!" katanya dalam tulisan itu.
Menurut Hashim, dalam suasana semua orang mengejar kejayaan dan kemenangan, ramai pula orang terkeliru apakah sebenarnya yang dicita-citakan oleh mereka.
"Apakah mereka mahu melihat Islam tertegak atau sekadar mahu menguasai Putrajaya?" soal beliau yang mempertikaikan usaha-usaha parti pembangkang mahu menang dalam pilihan raya akan datang dengan cara bekerjasama.
"Untuk apa sesebuah parti politik menguasai Putrajaya jika mereka tidak dapat menegakkan ideologi yang menjadi dasar mereka?
"Saya yakin jika Parti Komunis yang menguasai Putrajaya, pasti mereka mahu melaksanakan dasar-dasar komunisnya, seperti mana kelompok sekular kebangsaan melakukannya sekarang ini," katanya.
Maka, mengapa orang yang berada dalam perjuangan Islam boleh terkeliru tentang tujuan untuk apa kita menguasai Putrajaya, soal beliau.
Kenyataan Hashim ini adalah penegasan untuk sekian kalinya Pas tidak akan bersama-sama dengan mana-mana parti kecuali parti itu sedia menerima Pas sebagai pemimpin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan